
LONDON, 17 Julai – FIFA akan melakukan penilaian terhadap laporan perlawanan sebelum memutuskan sama ada akan mengambil sebarang tindakan terhadap pemain Argentina yang memegang sepanduk bertulis “Las Malvinas son Argentinas” (Kepulauan Falkland adalah milik Argentina) semasa meraikan kemenangan 2-1 ke atas England.
- Menteri Britain menggesa FIFA menyiasat insiden pemaparan sepanduk oleh pemain Argentina.
- Downing Street menyokong gesaan itu dan menegaskan Kepulauan Falkland milik Britain.
- Argentina menceroboh Kepulauan Falkland pada 1982; Britain merampas semula selepas tindakan tentera laut.
- Pada 2014 Persatuan Bola Sepak Argentina didenda £20,000 oleh FIFA selepas pemain bergambar dengan mesej sama.
Seorang menteri Britain telah menggesa badan induk bola sepak dunia itu menyiasat insiden terbabit yang berlaku selepas aksi separuh akhir Piala Dunia di Atlanta.
FIFA menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya sedang menilai laporan perlawanan.
“Mengikut prosedur biasa, Jawatankuasa Tatatertib Bebas FIFA kini sedang meneliti laporan perlawanan serta mempertimbangkan semua keadaan yang berkaitan sebelum memutuskan sama ada tindakan lanjut perlu diambil berdasarkan Kod Tatatertib FIFA,” menurut kenyataan tersebut.
Pejabat Perdana Menteri Britain, Keir Starmer pada Khamis menyokong gesaan Setiausaha Negara bagi Perniagaan dan Perdagangan, Peter Kyle, yang menyifatkan tindakan mengibarkan sepanduk itu sebagai pelanggaran serius terhadap peraturan FIFA yang melarang simbol politik dipamerkan di padang permainan.
“Piala Dunia mungkin bukan milik kami, tetapi Kepulauan Falkland sememangnya milik kami,” tegas jurucakap Downing Street.
Argentina pernah menceroboh wilayah luar negara Britain di Atlantik Selatan itu pada 1982.
Bagaimanapun, Britain berjaya merampas semula kepulauan berkenaan dalam perang singkat selepas Perdana Menteri ketika itu, Margaret Thatcher, mengerahkan pasukan tentera laut.
“Politik perlu dipisahkan daripada bola sepak. Malah, salah satu prinsip utama Piala Dunia ialah politik tidak boleh dicampur adukkan dengan bola sepak,” kata Kyle kepada BBC.
Pada 2014, Persatuan Bola Sepak Argentina didenda £20,000 pound (kira-kira AS$27,000) oleh FIFA selepas pemainnya bergambar di hadapan sepanduk dengan mesej yang sama sebelum perlawanan persahabatan menentang Slovenia. – AFP