
KUALA LUMPUR, 16 Julai – Industri fesyen berpotensi muncul sebagai pemacu baharu pertumbuhan ekonomi negara, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, mengukuhkan perusahaan tempatan dan meningkatkan daya saing jenama Malaysia di peringkat global.
- Industri fesyen menyumbang nilai ekonomi luas, melibatkan pereka, tukang jahit, pengeluar tekstil, peruncit, logistik dan pemasaran digital.
- KPDN menjalin kerjasama strategik bersama KLFW untuk memperkasa promosi dan akses pasaran produk fesyen tempatan.
- Kerajaan tumpu meningkatkan akses pasaran, memperkukuh keyakinan kualiti dan membantu pereka membangunkan perniagaan yang mampan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sektor itu bukan lagi sekadar industri kreatif, sebaliknya mempunyai rantaian ekonomi yang mampu menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan negara.
“Apabila kita bercakap mengenai pertumbuhan ekonomi, tumpuan sering diberikan kepada sektor pembuatan, pertanian atau teknologi. Namun, industri fesyen juga merupakan sektor ekonomi yang dinamik dan sedang berkembang.
“Ia bukan sekadar mengenai estetika atau kemewahan, malah mewujudkan peluang pekerjaan dan menjana nilai di seluruh ekosistem, daripada pereka fesyen, tukang jahit dan pengeluar tekstil kepada peruncit, penyedia logistik, pencipta kandungan serta pemasaran digital,” katanya ketika berucap merasmikan Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026 hari ini.
Ini merupakan penyertaan julung kali KPDN menjalin kerjasama strategik bersama KLFW dalam menggerakkan agenda memperkasa promosi produk tempatan.
Inisiatif tersebut susulan pelancaran gerakan Jom Beli Produk Malaysia (JOM MALAYSIA) yang dilancarkan pada 27 Jun lepas sebagai strategi transformasi kepada evolusi Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia sejak 1984.
Datuk Armizan berkata, KLFW telah membuktikan kredibilitinya sebagai platform yang berjaya mengetengahkan bakat tempatan, selain membuka akses pasaran kepada usahawan fesyen Malaysia di dalam dan luar negara.
“Bagi memperkasa industri itu, kerajaan akan memberi tumpuan kepada tiga aspek utama iaitu meningkatkan akses pasaran, memperkukuh keyakinan terhadap kualiti produk buatan Malaysia dan membantu pereka fesyen membangunkan perniagaan yang mampan,” jelasnya.
Tambah beliau, kejayaan agenda JOM MALAYSIA tidak bergantung kepada kerajaan atau pemain industri semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan pengguna melalui keutamaan membeli produk tempatan.
“Setiap kali kita memilih produk Malaysia, kita bukan sekadar membeli sehelai pakaian, tetapi menyokong perniagaan tempatan, mengekalkan peluang pekerjaan, memperkukuh ekonomi domestik dan membantu komuniti kreatif negara terus berkembang,” katanya.