Dewan Rakyat tumpu isu subsidi bahan api, RUU komunikasi dan reformasi pendidikan hari ini

Foto Parlimen Malaysia

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Isu kedudukan fiskal negara susulan peningkatan perbelanjaan subsidi bahan api akibat konflik di Asia Barat dijangka menjadi tumpuan utama persidangan Dewan Rakyat hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perbahasan subsidi BUDI95 termasuk rasional pengurangan kuota 300 kepada 200 liter, keberkesanan STR dan SARA serta impak kenaikan kos sara hidup.
  • Bacaan kali kedua RUU Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2026 dan RUU Suruhanjaya Komunikasi serta perbahasan pengukuhan kerangka perundangan digital.
  • Soalan dan perbahasan mengenai RPM 2026-2035, kekurangan guru mengikut negeri dan subjek kritikal, penempatan luar bandar serta integrasi AI dan literasi digital.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat Sidang Dewan Rakyat hari ini, Kementerian Kewangan akan membawakan penilaian kerajaan tentang kesan konflik berkenaan terhadap perbelanjaan subsidi bahan api, implikasinya kepada sasaran defisit fiskal 2026 serta langkah memastikan kestabilan kewangan negara sekiranya ketegangan geopolitik berlarutan.

Selain itu, turut dijadualkan, beberapa yang akan dibangkitkan antaranya isu berkaitan mekanisme subsidi bersasar BUDI95 termasuk rasional pengurangan kuota subsidi daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan, kedudukan hutang kerajaan, keberkesanan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), selain impak kenaikan harga minyak mentah global terhadap kos sara hidup rakyat.

Turut dijangka menjadi perhatian ialah pembentangan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2026 serta Rang Undang-Undang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2026 oleh Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Perbahasan kedua-dua rang undang-undang itu dijangka menyentuh usaha memperkukuh kerangka perundangan sektor komunikasi dan multimedia negara selaras dengan perkembangan teknologi digital serta cabaran semasa.

Dalam pada itu, sektor pendidikan terus menjadi antara fokus utama persidangan apabila beberapa Ahli Parlimen bakal mengemukakan soalan mengenai pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035, isu kekurangan guru mengikut negeri dan subjek kritikal, penempatan guru di kawasan luar bandar serta usaha mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI) dan literasi digital dalam sistem pendidikan negara.

Persidangan hari ini turut akan menyaksikan beberapa isu lain dibangkitkan termasuk kawal selia pusat penjagaan ibu selepas bersalin (confinement centre), keselamatan siber dan penipuan dalam talian, tenaga boleh baharu, bekalan air, harga barangan keperluan, pembangunan usahawan serta kebajikan pekerja.

Selain sesi pertanyaan lisan, Dewan Rakyat turut dijadual meneruskan bacaan kali kedua beberapa rang undang-undang lain termasuk Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Amanah Negara 2026, Rang Undang-Undang Statistik 2026, Rang Undang-Undang Mahkamah Kehakiman (Pindaan) 2026, selain menyambung semula perbahasan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar 2025 dan Rang Undang-Undang Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.