
KUALA LUMPUR, 14 Julai – Seorang bekas penjawat awam direman empat hari selepas disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu bagi mendapatkan bantuan kewangan berjumlah kira-kira RM300,000.
- Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan perintah reman sehingga 17 Julai terhadap bekas penjawat awam.
- Suspek ditahan selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Kuala Lumpur dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
- Dia dipercayai menggunakan maklumat 11 individu tanpa kebenaran, menerima RM500 hingga RM1,000 sebulan antara 2020 hingga 2025.
Perintah reman sehingga 17 Julai itu dikeluarkan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi tadi.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 30-an ditahan kira-kira 6 petang semalam selepas hadir memberikan keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur.
Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohammad Zakkuan Talib mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Suspek dipercayai menggunakan maklumat 11 individu tanpa pengetahuan mereka untuk memohon bantuan berkenaan dan memperoleh antara RM500 hingga RM1,000 setiap bulan yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.
Siasatan awal mendapati suspek melakukan perbuatan itu antara 2020 hingga 2025 ketika masih bekerja.