
AYER KEROH, 14 Julai – Semua sekolah di Melaka, khususnya sekolah berasrama penuh, diwajibkan menyediakan peti aduan sebagai saluran selamat kepada pelajar bagi melaporkan isu disiplin atau salah laku di sekolah.
- Peti aduan hanya dibuka oleh pihak JPN atau JAIM mengikut jenis sekolah.
- Langkah ini memberi saluran telus tanpa rasa takut tindakan balas kepada pelajar.
- Setiap aduan diteliti dahulu sebelum pelajar dipanggil untuk kaunseling dan bimbingan sesuai.
- Maklum balas amat positif, aduan lebih jelas dan membantu penyelesaian isu salah laku pelajar.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, peti aduan berkenaan hanya boleh dibuka oleh pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), bergantung kepada sekolah berkenaan.
“Langkah ini bagi memastikan pelajar dapat membuat aduan secara telus tanpa rasa takut atau bimbang tindakan balas daripada mana-mana pihak.
“Setakat ini terdapat sekolah yang sudah menyediakan peti aduan tersebut dan maklum balas diterima amat positif kerana ia membantu pihak berkuasa pendidikan mengenal pasti serta menyelesaikan isu yang berlaku,” katanya.
Tambahnya setiap aduan yang diterima akan diteliti sebelum pelajar terbabit dipanggil secara peribadi untuk sesi kaunseling dan bimbingan mengikut kesesuaian.
“Peti-peti aduan ini kita letakkan di sekolah-sekolah dan pelajar telah dimaklumkan supaya tidak perlu rasa risau atau takut untuk membuat laporan berkaitan apa sahaja isu yang dihadapi.
“Peti aduan ini tidak boleh dibuka oleh pihak guru di sekolah terbabit, sebaliknya hanya boleh diakses oleh Jabatan Pendidikan Negeri.
“Manakala bagi sekolah di bawah JAIM, peti berkenaan hanya akan dibuka oleh Pengarah JAIM dan Setiausaha Agama Islam.
“Melalui kaedah ini, kita menerima maklum balas yang sangat positif kerana aduan yang diterima lebih jelas dan telus, sekali gus membantu kita menyelesaikan isu berkaitan salah laku pelajar di sekolah,”katanya ketika ditemui pada sidang media sempena Persidangan Kedua, Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Seri Negeri, di sini.