Agong terima watikah enam ketua perwakilan asing ke Malaysia

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Julai – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima watikah pelantikan enam ketua perwakilan asing ke Malaysia di Istana Negara, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Istiadat penyerahan watikah berlangsung di Singgahsana Kecil, Istana Negara.
  • Enam ketua perwakilan asing menyerahkan watikah, termasuk wakil dari Mauritius, Turkiye, Brunei, Nigeria, Congo dan Albania.
  • Sultan Ibrahim mengurniakan watikah pelantikan kepada lima perwakilan Malaysia ke luar negara: Indonesia, Vietnam, Mexico, Itali dan Maghribi.
  • Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Tan Sri Amran Mohamed Zin hadir.

Istiadat penyerahan watikah pelantikan oleh ketua-ketua perwakilan asing ke Malaysia itu berlangsung di Singgahsana Kecil, Istana Negara.

Ketua perwakilan asing berkenaan ialah Pesuruhjaya Tinggi Mauritius ke Malaysia Rabin Gungoo, Duta Besar Turkiye ke Malaysia Nevzat Uyanik dan Pesuruhjaya Tinggi Brunei ke Malaysia Abdu’r Rahmani Basir.

Sultan Ibrahim turut berkenan menerima watikah pelantikan daripada Ahmed Olatunji Sulu Gambari (Nigeria), Raymond Serge Bale (Congo) dan Ermal Muça (Albania).

Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada lima perwakilan Malaysia ke luar negara.

Ketua Perwakilan Malaysia ke luar negara yang baharu dilantik ialah Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Muzafar Shah Mustafa, Duta Besar Malaysia ke Vietnam Jamal Sharifuddin Johan dan Duta Besar Malaysia ke Mexico Muhammad Radzi Jamaludin.

Turut menerima watikah pelantikan ialah Duta Besar Malaysia ke Itali Datuk Shahabudeen Adam Shah dan Duta Besar Malaysia ke Maghribi Edi Irwan Mahmud.

Hadir sama pada istiadat berkenaan ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Tan Sri Amran Mohamed Zin.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.