
WASHINGTON, 13 Julai -Bandar Salt Lake City dan Billings merekodkan suhu tertinggi dalam sejarah susulan gelombang haba melampau yang melanda wilayah tengah Amerika Syarikat (AS) pada Ahad.
- Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan lapor suhu melonjak hingga 43°C, memecah rekod lama 41.6°C dan 42.2°C.
- Cuaca panas melampau menyukarkan usaha memadam kebakaran hutan di Colorado dan Utah, dan dijangka berlanjutan sehingga Selasa.
- Peningkatan kekerapan dan intensiti gelombang haba dikaitkan dengan perubahan iklim; gelombang Jun di Eropah meragut lebih 1,300 nyawa menurut WHO.
Menurut data awal Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS, bacaan suhu di Salt Lake City yang merupakan ibu negeri Utah, serta Billings iaitu bandar terbesar di Montana, dilaporkan melonjak sehingga mencecah 43° darjah Celsius.
Lonjakan suhu luar biasa itu sekali gus memecahkan rekod tertinggi di kedua-dua bandar berkenaan sejak sistem pengumpulan data cuaca mula diperkenalkan lebih 150 tahun lalu, mengatasi rekod lama masing-masing pada paras 41.6° dan 42.2° darjah Celsius.
Cuaca panas melampau dari dataran utara hingga ke rantau Pergunungan Rocky itu turut menjejaskan usaha pasukan penyelamat bagi memadamkan kebakaran hutan berskala besar yang sedang marak di Colorado dan Utah, dengan cuaca terik berkenaan dijangka berlarutan sehingga Selasa ini.
Insiden terbaharu ini berlaku hanya seminggu selepas wilayah timur AS ditelan gelombang haba terdahulu yang menyaksikan suhu melonjak sekitar 40° darjah Celsius di bandar-bandar utama termasuk New York dan Philadelphia.
Peningkatan kekerapan dan intensiti fenomena cuaca ekstrem di peringkat global ketika ini terus dikaitkan dengan impak perubahan iklim ekoran pelepasan gas rumah hijau.
Manakala gelombang haba di Eropah Barat pada Jun lalu dilaporkan telah meragut lebih 1,300 nyawa menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). – AFP.