IPGKDRI terus lahirkan pendidik berwibawa

Foto HIASAN

KUALA NERUS, 11 Julai – Hampir 10,000 pendidik telah berjaya dilahirkan Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail (IPGKDRI) di sini sejak mula beroperasi pada 1981.

RINGKASAN BERITA AI
  • IPGKDRI meraikan ulang tahun ke-45 dan kini menawarkan program sarjana dengan kumpulan graduan pertama baru-baru ini.
  • Institusi berkembang daripada latihan sijil kepada pengajian ijazah dan program sarjana, memperkasakan kualiti perguruan.
  • Mengadakan hari terbuka julung kali dengan penyertaan lebih seribu warga kampus, alumni, pelajar sekolah dan masyarakat setempat.
  • Program Go Green Save Earth melibatkan penanaman 45 pokok kelat paya dan pokok buah di sekitar kampus sebagai agenda kelestarian.

Memasuki usia 45 tahun, institusi yang dahulunya dikenali sebagai Maktab Batu Rakit itu terus berkembang daripada latihan perguruan peringkat sijil kepada pengajian ijazah dan sarjana.

Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar IPGKDRI, Tengku Nor Faizul Tengku Embong berkata pada peringkat awal penubuhannya, institut itu hanya melatih lebih 100 guru pelatih sebelum jumlahnya terus meningkat dari tahun ke tahun.

“Dulu hanya kelulusan pelajar di peringkat sijil sahaja tetapi sekarang pelajar lepasan SPM masuk ke sini. Selepas lima tahun mereka akan keluar sebagai guru ijazah.

Tahun ini lebih bermakna, sempena sambutan 45 tahun, IPGKDRI menawarkan kursus sarjana dan kumpulan pertama telahpun menjalani graduasi pada minggu lepas,” katanya.

Beliau berkata bersempena Ulang Tahun ke-45, IPGKDRI turut menganjurkan hari terbuka buat julung kali dengan penyertaan lebih 1,000warga kampus, alumni, pelajar sekolah dan masyarakat setempat.

“Sambutan tersebut turut membawa agenda kelestarian menerusi program Go Green–Save Earth dengan penanaman 45 pokok kelat paya dan buah-buahan di sekitar kampus,” jelasnya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.