
MONTREAL, 11 Julai – Jambatan Antarabangsa Gordie Howe yang menghubungkan Kanada dan Amerika Syarikat (AS) akan dibuka kepada orang ramai pada 27 Julai selepas kedua-dua negara mencapai persetujuan mengenainya.
- Jambatan bernilai AS$4.7 bilion dijangka menjadi laluan ekonomi penting, menjana aktiviti berbilion dolar untuk beberapa dekad.
- Pembinaan bermula 2018; pembukaan ditangguhkan atas permintaan AS kerana isu teknikal, menurut Perdana Menteri Mark Carney.
- Projek dibiayai sepenuhnya oleh Kanada; pemilikan akan dikongsi bersama negeri Michigan, walaupun Presiden AS mengancam menghalang kerana tuntutan pemilikan.
Kementerian Infrastruktur Kanada memaklumkan jambatan bernilai AS$4.7 bilion (C$6.4 bilion) itu dijangka menjadi laluan ekonomi penting yang menjana aktiviti ekonomi bernilai berbilion dolar untuk beberapa dekad akan datang.
Jambatan yang menghubungkan Detroit di Michigan dan Windsor, Ontario itu mula dibina pada 2018.
Sebelum ini, Perdana Menteri Kanada, Mark Carney berkata pembukaan jambatan itu ditangguhkan atas permintaan Amerika Syarikat berikutan isu teknikal.
Pada Februari lalu, Presiden AS, Donald Trump mengancam untuk menghalang pembukaan jambatan berkenaan dengan alasan Amerika Syarikat menerima layanan tidak adil dalam projek itu serta mendakwa ia sepatutnya dimiliki sekurang-kurangnya 50 peratus oleh negara itu.
Menurut Pihak Berkuasa Jambatan Windsor-Detroit, projek berkenaan dibiayai sepenuhnya oleh Kanada dan akan dimiliki bersama oleh Kanada serta negeri Michigan.-AFP