
ARAU, 10 Julai – Persatuan Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis terus komited menjaga kebajikan warga universiti setelah menyumbangkan 67 kerusi batu riadah dan wang tunai sebanyak RM7,000 kepada dana kebajikan pelajar dan RM1,000 kepada Tabung Masjid An-Nur.
- Alumni terus komited menjaga kebajikan pelajar dan menyokong pembangunan kemudahan universiti.
- Sumbangan dianggap simbol kasih sayang, penghargaan dan rasa tanggungjawab alumni terhadap institusi.
- Rektor merakamkan penghargaan; kerjasama strategik dijangka memberi manfaat kepada warga kampus.
Menurut kenyataan Presiden Persatuan Alumni UiTM Perlis, Ahmad Shamsul Baharin Mohd Hanafiah, sumbangan disalurkan mencerminkan semangat kebersamaan, keprihatinan serta tanggungjawab alumni dalam membantu meningkatkan kebajikan pelajar dan pembangunan kemudahan universiti.
“Sumbangan yang disampaikan bukan sekadar bantuan material, malah simbol kasih sayang, penghargaan dan rasa tanggungjawab alumni terhadap institusi yang telah membentuk kejayaan mereka,” katanya.
Sementara itu, Rektor UiTM Cawangan Perlis, Profesor Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Persatuan Alumni UiTM Perlis atas keprihatinan dan sokongan berterusan yang diberikan kepada universiti.
Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa hubungan erat antara alumni dan UiTM akan terus diperkukuh melalui pelbagai bentuk kerjasama strategik yang memberi manfaat kepada warga kampus.
“Ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai alumni untuk menyumbang kembali kepada institusi yang telah banyak berjasa dalam membentuk kejayaan mereka,” ujarnya lagi.