
SAUDARA PENGARANG
- Transformasi Kempen kepada 'Jom Malaysia' sebagai gerakan patriotisme ekonomi untuk perkuat produk tempatan, tingkat daya saing usahawan dan kurangkan kebergantungan import.
- Rakyat mesti ubah tabiat perbelanjaan: utamakan barangan dan perkhidmatan buatan Malaysia serta sokong pasar tani, runcit tempatan dan usahawan kecil.
- Pendekatan whole-of-nation melibatkan kerajaan, industri dan rakyat, serta meluaskan fokus kepada sektor perkhidmatan dan pasaran antarabangsa.
Gangguan terhadap ekonomi dunia angkara penutupan Selat Hormuz dek kerana konflik Asia Barat serta masalah geopolitik dunia yang sangat tidak menentu wajar membuka mata anggota masyarakat betapa kita perlu mengurangkan kebergantungan kepada import.
Dalam konteks ini kita wajar memuji langkah proaktif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang mentransformasikan Kempen Beli Barangan Malaysia kepada ‘Jom Beli Produk Malaysia’ (Jom Malaysia) sebagai gerakan nasional berteraskan patriotisme ekonomi.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, langkah itu diambil bagi memperkukuh penggunaan produk tempatan, meningkatkan daya saing usahawan dan mengurangkan kebergantungan negara kepada import.
Transformasi ini bukan saja membabitkan soal pertukaran nama dan logo, perubahan dari segi objektif, strategi dan pendekatan selaras perubahan landskap perdagangan serta tingkah laku pengguna. Sebaliknya dalam konteks yang lebih besar, ia tampil berasaskan empat teras utama.
Teras itu ialah menjadikan pembelian produk Malaysia sebagai gerakan nasional, mengamalkan pendekatan ‘whole-of-nation’ yang membabitkan kerajaan, industri dan rakyat, memperluaskan skop kepada sektor perkhidmatan selain produk, serta memperluaskan sasaran ke pasaran antarabangsa.
Jujurnya sudah tiba masa untuk rakyat memupuk dan menonjolkan semangat patriotisme ekonomi dengan kesedaran bahawa apabila produk tempatan diberi keutamaan, ia bukan sahaja membantu pertumbuhan ekonomi negara, malah mengurangkan kebergantungan kepada import serta memperkukuh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Ini sepatutnya diangkat menjadi agenda sumbangan utama setiap warganegara yang sayangkan ekonomi dan mahu negara ini terus maju tanpa bergantung kepada pihak luar.
Seperti kata Armizan, anggota masyarakat perlu sedar bila mana produk tempatan mendapat sokongan rakyat, dibeli pelancong dan berjaya memasuki pasaran global, manfaatnya bukan sahaja kepada ekonomi negara, malah meningkatkan pendapatan usahawan dan rakyat secara keseluruhan.
Jadi konsep patriotisme ekonomi ini mewujudkan situasi menang-menang dan berpaksikan prinsip meraih manfaat bersama.
Konsep patriotisme tidak boleh terhad kepada soal kedaulatan mahupun kebebasan dari penjajah semata-mata, sebaliknya dimensi sayangkan negara itu wajar diterjemahkan dalam pelbagai naratif mengikut peredaran zaman dan keperluan semasa, khususnya dalam konteks kesejahteraan ekonomi pada ketika ini.
Secara umumnya, terma patriotisme ekonomi membawa maksud bagaimana kita menonjolkan semangat cintakan negara dalam dimensi ekonomi yakni melalui tindakan seperti membeli, menyokong dan mengutamakan produk, perkhidmatan, serta pembangunan ekonomi domestik.
Antara matlamat utama jangka panjang adalah untuk memastikan kekayaan dan peluang pekerjaan terus dinikmati oleh rakyat tempatan bagi menjamin kestabilan dan kedaulatan negara.
Konflik Asia Barat telah memberikan pengajaran yang cukup besar kepada ekonomi negara. Pihak kerajaan misalnya terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran untuk mempertahankan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat.
Akibatnya, struktur ekonomi negara perlu dibuat pengubahsuaian supaya tatakala berhadapan masalah ketidaktentuan ekonomi global khususnya masalah bekalan terputus dan harga barangan melonjak, kebajikan rakyat tetap terus dipelihara dan dipertahankan.
Justeru kita perlu mengambil iktibar dan mengubah cara fikir dan corak perbelanjaan supaya sentiasa bersedia menghadapai apa jua cabaran ekonomi yang aka datang.
Dalam hal ini kita tidak ada pilihan selain menyusun langkah dan merombak struktur ekonomi supaya dapat mengurangkan kebergantungan kepada ekonomi atau kuasa asing dengan mengawal pembentukan modal dan buruh dalam negara.
Dalam tempoh proses pemulihan pasca konflik Asia Barat ini kita perlu meningkatkan usaha untuk menjadikan ekonomi domestik lebih berdaya tahan terutamanya dalam tempoh pemulihan ekonomi.
Tanggungjawab pemulihan ekonomi dari krisis tidak boleh diletakkan di bahu pihak kerajaan semata-mata, sebaliknya setiap seorang daripada kita perlu memainkan peranan masing-masing dengan penuh bertanggungjawab.
Kerajaan dilihat secara berterusan menghulurkan bantuan kepada PMKS melalui pelbagai insentif namun bagaimana pula sokongan dari pengguna? Sejauh mana kita benar-benar prihatin dan bersedia membantu pengusaha serta usahawan tempatan selain yakin dengan kualiti produk dan perkhidmatan yang mereka tawarkan?
Hakikatnya, produk dan perkhidmatan tempatan tidak kurang hebatnya berbanding jenama terkenal dari luar yang lazimnya hanya gah pada nama namun fungsinya tetap sama seperti yang dihasilkan dalam negara.
Justeru inilah masanya untuk pengguna berpaksikan semangat patriotisme ekonomi berani dan nekad mengubah tabiat perbelanjaan secara total.
Langkah paling awal yang boleh kita lakukan, hentikan kebergantungan kepada produk import dengan meningkatkan keyakinan dan sokongan terhadap kualiti produk dan perkhidmatan ditawarkan pengusaha tempatan.
Misalnya, ketika berbelanja barangan keperluan keluarga seperti barangan runcit, pakaian, dan peralatan rumah lain boleh mengutamakan barangan buatan Malaysia. Selain itu, boleh saja mengubah tabiat membeli barang keperluan harian daripada rangkaian pasar raya besar asing kepada kedai runcit atau pasar tani berhampiran.
Ringkasnya, sematkan dalam diri dan minda untuk sentiasa mencari dan mengutamakan produk yang tertera logo “Buatan Malaysia” atau “Produk Malaysia” semasa membeli-belah.
Pada masa sama semangat patriotisme ekonomi juga boleh diterjemahkan dengan memberikan sokongan penuh kepada industri perkhidmatan domestik yang lazimnya melibatkan urusan dan aktiviti harian kita.
Misalnya, ketika mahu menjamu selera boleh saja memilih dan mengutamakan warung, trak makanan, atau restoran milik rakyat tempatan berbanding rangkaian makanan segera antarabangsa.
Begitu juga ketika bercadang untuk melancong atau bercuti bersama keluarga, boleh saja memilih destinasi percutian domestik (Cuti-Cuti Malaysia) dan menginap di hotel atau inap desa (homestay) milik pengusaha tempatan.
Malah dalam urusan kerja mahupun profesional boleh menggunakan perkhidmatan pakar profesional tempatan seperti mengupah kontraktor, perunding, pereka grafik, atau mekanik tempatan untuk keperluan masing-masing.
Anggota masyarakat terutamanya para pempegaruh yang terkenal boleh turut menyumbang melonjakkan semangat patriotisme ekonomi; antara lain melalui perkongsian ulasan positif terhadap kualiti produk atau perkhidmatan tempatan di media sosial yang boleh ditularkan sekali gus membantu aspek promosi dan pemasaran secara percuma.
Malah kita juga boleh memberi maklum balas membina yang jujur dan secara berhemah jika ada sebarang kelemahan bagi membantu para pengusaha tempatan meningkatkan kualiti produk atau perkhidmatan.
Tuntasnya, proses bangkit dari pasca krisis Asia Barat, memulihara ekonomi negara dan memelihara kesejahteraan dan kebajikan rakyat perlu melibatkan kerjasama strategik antara kerajaan dan rakyat. Justeru inilah masa terbaik untuk kita tonjolkan semangat patriotisme ekonomi dengan menyokong agenda kempen Jom Malaysia.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Noor Mohamad Shakil Hameed
Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat)
Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat
Universiti Putra Malaysia
E-mel: nmohd77@upm.edu.my