
JITRA, 6 Julai – Kejohanan Liga Kedah 2026 Piala DZR menjadi medan terbaik buat Persatuan Bolasepak Melayu Kedah (PBMK) untuk mencungkil bakat baharu bagi mewakili Kedah ke Kejohanan Piala Emas Raja-Raja tahun ini.
- PBMK mensasarkan pemain Kedah untuk mewakili PBMK di Piala Emas Raja-Raja dengan sasaran juara dan insentif lebih baik.
- PBMK bekerjasama dengan Persatuan Bolasepak Kedah dan rakan strategik untuk mengesan serta mengetengahkan pemain berbakat ke peringkat lebih tinggi.
- Liga Kedah 2026 berlangsung 3 Julai hingga 10 Oktober, disertai 16 pasukan; turut diadakan klinik bola sepak di sekolah terpilih.
Penaung PBMK, Datuk Zuraidi Rahim berkata, penganjuran Liga Kedah 2026 merupakan satu cetusan baharu yang diadakan bagi membolehkan pemain remaja dan belia menonjolkan bakat, kemahiran dan kelebihan masing-masing.
PBMK bekerjasama dengan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dan rakan strategik yang lain bagi mengesan pemain berbakat untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
“Tahun ini kita menyasarkan anak-anak Kedah yang mewakili PBMK dalam Piala Emas Raja-Raja untuk muncul juara. Tahun lepas kita hanya mara ke suku akhir, jadi kali ini sasaran kita adalah untuk menjadi juara.
“Jika berjaya, akan ada insentif yang lebih baik kepada anak-anak Kedah sebagai galakan. Kita mahu jadikan mereka pelapis kepada bakat yang dikenal pasti selain memberi insentif yang lebih menarik supaya mereka yakin PBMK, bersama KFA, merupakan tapak asas untuk mengangkat mereka sebagai pemain Kedah pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Kejohanan Liga Kedah 2026 anjuran PBMK di sini.
Menurut Datuk Zuraidi, Liga Kedah 2026 yang bermula 3 Julai lalu dan berakhir pada 10 Oktober depan disertai 16 pasukan kelab tempatan.
Kebanyakan pasukan dibarisi beberapa bekas pemain berpengalaman Kedah seperti Al Hafiz Harun, Azmeer Yusof dan Syazwan Tajudin bagi menaikkan semangat para pemain yang lain.
Sepanjang kejohanan tersebut, PBMK juga akan mengadakan beberapa klinik bola sepak di sekolah terpilih untuk melatih dan menilai bakat baharu bola sepak.