Kerajaan lulus pembinaan 27 sekolah baharu di Johor sejak 2023 – KPM

Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU, 5 Julai – Kerajaan Persekutuan telah meluluskan pembinaan 27 sekolah baharu di seluruh Johor dengan keseluruhan melebihi RM2.3 bilion menerusi belanjawan 2023 hingga 2025.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembinaan merangkumi 830 bilik darjah, memberi manfaat kepada lebih 29,000 murid.
  • Pelaksanaan 84 kelas prasekolah baharu bagi aliran perdana dan integrasi sejak 2023.
  • Peruntukan RM444.8 juta untuk 5,728 projek naik taraf dan baik pulih institusi pendidikan di Johor.
  • Bantuan Awal Persekolahan RM150 one-off kepada 591,722 murid, peruntukan lebih RM88.7 juta.

Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan projek pembinaan itu merangkumi keseluruhan 830 bilik darjah dan bakal memberi manfaat kepada lebih 29,000 murid, sekali gus meningkatkan akses pendidikan berkualiti untuk anak-anak Johor serta menangani isu kepadatan di bandar besar.

“Peluasan prasekolah bagi memperkukuh akses pendidikan awal kanak-kanak turut dilaksanakan sejak 2023 dengan sejumlah 84 kelas prasekolah baharu merangkumi aliran perdana dan integrasi diwujudkan,” menurut KPM dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, KPM memaklumkan sejumlah RM444.8 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan 5,728 projek naik taraf dan baik pulih institusi pendidikan KPM di Johor sejak 2023 hingga tahun lepas merangkumi projek naik taraf tandas, kantin, musolla, makmal dan bilik Sains serta kemudahan lain.

“Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di Johor juga mendapat manfaat naik taraf dan baik pulih dengan peruntukan keseluruhan lebih RM60.6 juta seterusnya memastikan keselesaan murid, guru serta seluruh warga sekolah,” menurut KPM.

Selain itu, usaha berterusan KPM menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor juga membuahkan hasil menerusi keputusan cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan gred purata negeri (GPN) mengatasi gred purata nasional, selain cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

KPM juga memaklumkan kerajaan telah memperuntukkan lebih daripada RM88.7 juta bagi pemberian Bantuan Awal Persekolahan bernilai RM150 bagi setiap murid secara one-off melibatkan 591,722 murid tahun satu hingga tingkatan enam di Johor.

“Usaha menangani kemiskinan multidimensi turut dilaksanakan menerusi program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang memberi manfaat kepada 48,015 murid di Johor dengan peruntukan berjumlah RM35.1 juta.

“Secara keseluruhan, KPM menyediakan 18 jenis bantuan yang memberi manfaat kepada anak Johor terutamanya daripada keluarga kurang berkemampuan,” menurut KPM.

Tidak ketinggalan 369 institusi pendidikan KPM di negeri ini terlibat dalam projek naik taraf bilik guru dengan peruntukan keseluruhan lebih RM11.7 juta.

“Inisiatif Baucar Buku MADANI yang diumumkan baru-baru ini pula telah memberi manfaat kepada 241,671 pelajar di Johor menerusi peruntukan keseluruhan RM24.1 juta,” menurut KPM.

KPM juga memaklumkan sebanyak 40 buah sekolah berasrama di Johor telah dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) bertujuan meningkatkan pemantauan keselamatan di sekolah.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.