
JASIN, 5 Julai – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan membangunkan pusat penyelidikan kelapa sawit pertama di Melaka apabila kawasan Seri Mendapat di sini, dipilih sebagai lokasi pembinaan Stesen Penyelidikan Strategik, bagi meningkatkan produktiviti industri sawit negeri.
- Projek bernilai RM20 hingga RM25 juta akan dilaksanakan selepas kerajaan negeri meluluskan kawasan seluas 40.47 hektar.
- Stesen dilengkapi ladang model, pusat R&D, makmal moden, pusat latihan, pasukan penguat kuasa dan kemudahan sokongan.
- MPOB tawar Skim Insentif Tanam Semula 2.0: pembiayaan sehingga RM14,000 setiap hektar, bayaran balik bermula tahun kelima.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) itu dijangka mampu memberi manfaat kepada pengusaha dan pekebun kecil menerusi penyelidikan, pembangunan serta pemindahan teknologi terkini.
Menurut beliau, projek bernilai antara RM20 juta hingga RM25 juta itu akan dilaksanakan selepas kerajaan negeri meluluskan kawasan seluas 40.47 hektar bagi tujuan pembinaannya.
“Saya berharap dengan perkembangan baharu ini, semua pengusaha kelapa sawit di sekitar Melaka akan menerima bimbingan dan latihan daripada MPOB bagi meningkatkan kualiti hasil sawit mereka, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan serta ekonomi pekebun kecil di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat dan Program Hello Komoditi 2026 bersempena dengan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Sungai Rambai, yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Siti Faizah Abdul Azis.
Stesen Penyelidikan Strategik itu akan dilengkapi dengan ladang model, pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D), makmal moden, pusat latihan, pasukan penguat kuasa serta pelbagai kemudahan sokongan.
Dalam perkembangan sama, MPOB turut menyediakan Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit 2.0 bagi membantu pekebun kecil menggantikan pokok sawit tua dengan benih baharu yang lebih berkualiti dan berpotensi meningkatkan hasil pengeluaran.
Menerusi skim itu, pemohon yang layak boleh menerima pembiayaan hingga RM14,000 bagi setiap hektar tanah dengan bayaran balik bermula pada tahun kelima, dan pekebun kecil mempunyai ruang yang lebih selesa untuk membangunkan semula kebun mereka tanpa dibebani tekanan kewangan.