Min Aung Hlaing adakan lawatan sulung sebagai Presiden Myanmar ke negara ASEAN

Min Aung Hlaing – Foto AFP

YANGON, 3 Julai – Ketua junta Myanmar yang kini memegang jawatan presiden, Min Aung Hlaing berada di Laos pada Jumaat bagi lawatan rasmi pertamanya ke negara anggota ASEAN sejak mengisytiharkan dirinya sebagai pemimpin awam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Aung Hlaing mencetuskan perang saudara pada 2021 selepas rampasan kuasa menumbangkan kerajaan Aung San Suu Kyi.
  • Dilantik presiden April selepas pilihan raya yang mengecualikan kawasan pemberontak, mengharamkan parti Suu Kyi dan memenjarakan pembangkang.
  • Pentadbiran baharu berusaha mendapatkan pengiktirafan antarabangsa termasuk dari ASEAN, yang sebahagian besarnya menggantung penglibatan Myanmar sejak 2021.

Aung Hlaing mencetuskan perang saudara di Myanmar pada 2021 selepas mengetuai rampasan kuasa tentera yang menggulingkan kerajaan dipilih rakyat pimpinan Aung San Suu Kyi dan menahan beliau serta menamatkan lebih sedekad usaha peralihan negara itu ke arah demokrasi.

Aung Hlaing memerintah sebagai ketua junta selama lima tahun sebelum dilantik sebagai presiden pada April lalu selepas mengadakan pilihan raya yang tidak melibatkan kawasan dikuasai kumpulan pemberontak, selain mengharamkan penyertaan parti pimpinan Suu Kyi serta memenjarakan tokoh pembangkang.

Menurut penganalisis, pentadbiran baharunya kini berusaha mendapatkan pengiktirafan antarabangsa, termasuk daripada ASEAN yang sebahagian besarnya menggantung penglibatan Myanmar sejak rampasan kuasa 2021.

Foto yang dikongsi pasukan penerangan pejabat presiden menunjukkan Aung Hlaing tiba di Laos pagi tadi ditemani isterinya,Kyu Kyu Hla.

Laporan media tempatan menyebut, lawatan rasmi itu dijadualkan selama tiga hari.

Dalam kenyataan awal minggu ini, pejabat Aung Hlaing memaklumkan beliau akan bertemu rakan sejawatannya dari Laos, Thongloun Sisoulith dan Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone.

“Presiden akan bertukar-tukar pandangan secara terbuka dan mesra bagi memperkukuh hubungan persahabatan yang sedia terjalin,” menurut kenyataan itu.

Lawatan ke Laos merupakan lawatan rasmi luar negara ketiga Min Aung Hlaing sejak mengambil alih jawatan presiden awam.

Bulan lalu, beliau mengadakan lawatan ke India dan China. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.