Pilihan raya parlimen Algeria hambar

Seorang wanita menunjukkan jari yang dicelup dakwat selepas mengundi di sebuah pusat pengundian di Algiers – Foto AFP

ALGIERS, 3 Julai – Pilihan raya parlimen Algeria berlangsung hambar apabila jumlah keluar mengundi dijangka mencatat paras terendah dalam sejarah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pilihan raya dicemari pembatalan kelayakan beberapa calon berpotensi dan kurang minat pengundi.
  • Kira-kira 25 juta pengundi layak memilih 407 anggota Dewan Rakyat daripada 1,235 calon bertanding.
  • Lembaga pilihan raya melaporkan keluar mengundi tidak rasmi sekitar 20 peratus, angka masih belum rasmi menurut pengerusi ANIE.

Rakyat bukan sahaja dilihat tidak berminat untuk mengundi, pemilihan turut dicemari pembatalan kelayakan beberapa calon berpotensi.

Kira-kira 25 juta orang layak mengudi bagi memilih 407 ahli Dewan Rakyat daripada 1,235 calon yang bertanding.

“Pilihan raya parlimen berlangsung ketika rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup dan kebimbangan terhadap kebebasan yang semakin berkurangan,” menurut pertubuhan hak asasi manusia.

Pusat-pusat pengundian yang dibuka pada pukul 8 pagi waktu tempatan (0700 GMT) dan ditutup pada pukul 8 malam dilaporkan lengang di ibu negara, Algiers, sehingga awal petang, menurut wartawan AFP.

Bagaimanapun, rakaman disiarkan televisyen nasional menunjukkan orang ramai beratur untuk mengundi di beberapa kawasan lain termasuk di wilayah El Aricha di barat laut negara itu.

Lembaga pilihan raya mengumumkan peratusan keluar mengundi tidak rasmi sebanyak 20 peratus. Jika disahkan, angka itu akan menjadi yang terendah dalam sejarah berbanding 23 peratus pada pilihan raya 2021.

“Angka ini masih belum rasmi dan sudah pasti akan berubah,” kata pemangku Pengerusi Pihak Berkuasa Pilihan Raya Bebas Kebangsaan (ANIE), Karim Khelfane.

Stesen televisyen kerajaan melaporkan kadar keluar mengundi di seluruh negara mencecah 11 peratus menjelang petang, manakala hampir 10 peratus dalam kalangan pengundi berdaftar di luar negara. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.