
NEW DELHI, 2 Julai – Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi tiba di sini pada Rabu bagi memulakan lawatan rasmi tiga hari yang memfokuskan kepada pengukuhan hubungan perdagangan, teknologi dan keselamatan antara kedua-dua negara.
- Pertemuan dua hala antara Sanae Takaichi dan Narendra Modi dijadualkan.
- Nilai perdagangan dua hala melebihi AS$27 bilion bagi 2025–2026.
- Jangkaan pengumuman inisiatif baharu meliputi kecerdasan buatan, pembangunan infrastruktur dan tenaga bersih.
- Jepun kekal sebagai pelabur utama; pelaburan terkumpul AS$48 bilion dan komitmen swasta AS$68 bilion hingga 2035.
Sepanjang lawatan berkenaan, Takaichi dijadualkan mengadakan pertemuan dua hala bersama rakan sejawatannya, Narendra Modi.
Langkah ini diambil ketika kedua-dua negara sedang giat memperluas rangkaian perdagangan serantau.
Berdasarkan data rasmi kerajaan India, nilai perdagangan dua hala antara India dan Jepun bagi tempoh 2025–2026 telah melonjak melebihi AS$27 bilion.
Takaichi berharap perbincangan yang telus akan berlangsung bagi menangani cabaran komuniti antarabangsa dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi ketika ini.
“Rantau yang benar-benar bebas dan terbuka bukanlah kawasan di mana kuasa-kuasa besar sahaja menikmati kebebasan tetapi setiap negara mampu menentukan hala tuju mereka sendiri tanpa sebarang paksaan luar,” tegas Takaichi.
Takaichi akan diraikan dalam majlis sambutan di Istana Presiden pada Khamis sebelum memulakan rundingan rasmi dengan Modi, yang kali terakhir melawat Tokyo pada Ogos 2025.
Dalam pada itu, jurucakap Kementerian Luar India, Randhir Jaiswal menyifatkan lawatan Takaichi sebagai satu langkah penting dalam memacu perkongsian strategik khas serta global antara India dan Jepun.
“Kedua-dua negara dijangka mengumumkan beberapa inisiatif baharu merangkumi sektor kecerdasan buatan (AI), pembangunan infrastruktur dan tenaga bersih.
Selain itu, beliau akan menghadiri Forum Ekonomi Jepun-India yang turut disertai wakil daripada lebih 150 syarikat terkemuka Jepun.
Jepun merupakan pelabur kelima terbesar di India sejak April 2000 dengan pelaburan terkumpul mencecah AS$48 bilion.
Tahun lalu, Tokyo komited untuk menyalurkan pelaburan sektor swasta bernilai AS$68 bilion ke India menjelang 2035.
Tokyo juga sedang membiayai projek kereta api berkelajuan tinggi India menerusi pinjaman mega, selain menyokong projek transit tren metro di beberapa bandar utama.- AFP