
KUALA LUMPUR, 1 Julai – Malaysia menyasarkan pengurangan kebergantungan terhadap import bawang bernilai kira-kira RM300 juta setahun menerusi pembangunan varieti tempatan.
- MARDI membangunkan tiga varieti bawang tempatan BAW1, BAW2 dan BAW3, sedang diperluaskan penanaman di Perak, Sabah dan Kelantan.
- Varieti dilancarkan pada 2023 sebagai inisiatif utama untuk memperkukuh industri bawang negara dan mengurangkan kebergantungan import khususnya dari India.
- Seminar Agromakanan bertujuan tingkatkan kefahaman Ahli Parlimen mengenai peranan MARDI dalam R&D, pengkomersialan, inovasi dan pameran teknologi institut.
Sekali gus meningkatkan Kadar Sara Diri (SSR) kepada 30 peratus menjelang 2030.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah membangunkan tiga varieti bawang tempatan iaitu BAW1, BAW2 dan BAW3 yang kini diperluaskan penanamannya di Perak, Sabah dan Kelantan.
Menurut beliau, varieti yang dilancarkan pada 2023 itu merupakan antara inisiatif utama MARDI bagi memperkukuh industri bawang negara serta mengurangkan kebergantungan terhadap import, khususnya dari India.
“Pembangunan varieti bawang tempatan seperti BAW1, BAW2 dan BAW3 membuka peluang besar kepada pengembangan industri bawang negara, di samping menyokong usaha meningkatkan kadar sara diri serta menjamin keselamatan bekalan makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Agromakanan di Dewan Bankuet Parlimen, hari ini.
Tambah beliau, seminar berkenaan bertujuan meningkatkan kefahaman Ahli-ahli Parlimen mengenai peranan MARDI dalam aspek penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi, selain pameran teknologi institut berkenaan.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan tiada sebarang ketetapan rasmi dibuat setakat ini berhubung cadangan pemilihan durian atau nanas sebagai buah kebangsaan.