
LOS ANGELES, 1 Julai – LeBron James, penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam sejarah NBA, akan meninggalkan Los Angeles Lakers namun masih meneruskan kerjaya dalam liga itu, menurut laporan media.
- James memaklumkan kepada Lakers awal bahawa tempoh lapan tahunnya bersama pasukan sudah berakhir, memberi ruang untuk perancangan luar musim.
- Beliau menjadi ejen bebas selepas Lakers tersingkir pada pusingan kedua, dengan ejennya Rich Paul mengesahkan akan bermain musim ke-24 bersama pasukan lain.
- Sepanjang bersama Lakers, James memenangi kejuaraan 2020 dan memecahkan rekod jaringan Kareem Abdul-Jabbar pada 7 Februari 2023.
Pemain forward berusia 41 tahun itu telah memaklumkan kepada kelab bahawa tempoh lapan tahunnya bersama Lakers sudah berakhir, dan beliau akan bermain musim ke-24 dalam liga bersama pasukan lain, kata ejennya Rich Paul kepada ESPN.
“King James”, yang memenangi kejuaraan NBA bersama Lakers pada 2020, menjadi ejen bebas selepas pasukan itu tersingkir pada pusingan kedua kalah mati.
“James memilih untuk memaklumkan kepada Lakers lebih awal sebelum bermulanya tempoh ejen bebas sebagai tanda hormat dan penghargaan terhadap perjalanan mereka bersama, serta memberi ruang kepada LA untuk merancang aktiviti luar musim mereka,” lapor wartawan ESPN Shams Charania.
Laporan itu merupakan pengesahan pertama bahawa James akan meneruskan salah satu kerjaya paling luar biasa dalam sejarah liga, dengan empat kejuaraan serta rekod individu yang tidak tertandingi.
Ketika tempoh rundingan ejen bebas bermula pada Selasa, James dikaitkan dengan kemungkinan kembali ke Cleveland atau Miami, dua pasukan yang pernah dibimbingnya meraih kejuaraan atau menyertai rakan baiknya, Stephen Curry di Golden State Warriors.
James menyertai Lakers pada 2018 dan membawa pasukan itu meraih kejuaraan NBA ke-17 pada 2020.
Bersama Lakers juga, beliau memecahkan rekod jaringan sepanjang zaman liga apabila mengatasi catatan Kareem Abdul-Jabbar sebanyak 38,387 mata pada 7 Februari 2023. – AFP