
KUALA LUMPUR, 29 Jun – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Kerajaan Tempatan telah meluluskan 573 projek pembangunan di Kampung Baru Cina dan 21 projek di Kampung India dengan kos keseluruhan RM73 juta tahun ini.
- 366 projek infrastruktur Kampung Baru Cina diluluskan; 148 siap, 218 masih dalam pelaksanaan.
- Projek Kampung India merangkumi infrastruktur, kemudahan awam dan keselamatan; lima siap, 13 dibina, dua proses perolehan, satu peringkat perancangan.
- KPKT mula menyelaras pembangunan Kampung India pada 2025; kerajaan akan tambah baik mekanisme dan kenal pasti penempatan layak.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata di Kampung Baru Cina, sebanyak 366 projek pembangunan infrastruktur telah diluluskan dengan 148 telah siap manakala 218 masih dalam pelaksanaan.
“Bagi projek pembangunan di Kampung India pula, Jabatan Kerajaan Tempatan telah meluluskan 21 projek pembangunan di 18 kampung dengan peruntukan RM2 juta melibatkan enam negeri, iaitu Johor, Melaka, Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Negeri Sembilan. Projek-projek ini merangkumi tiga skop utama, iaitu infrastruktur, kemudahan awam dan keselamatan.
“Setakat ini, lima projek telah siap, 13 projek sedang dalam pembinaan, dua projek lagi dalam proses perolehan, manakala sebuah lagi masih di peringkat perancangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Sungai Siput Kesavan Subramaniam berkenaan status terkini pelaksanaan projek pembangunan dan penyediaan kemudahan asas di kampung baharu Cina serta kampung tradisi India di seluruh negara danberapa jumlah peruntukan yang telah disalurkan bagi tujuan tersebut dalam
tempoh tiga tahun kebelakangan ini
Menurut Datuk Aiman Athirah, pembangunan Kampung India hanya mula diselaraskan KPKT pada 2025, berbanding Kampung Baharu yang telah lama berada bawah kementerian itu
Bagaimanapun Kerajaan, akan terus menambah baik mekanisme pembangunan Kampung India, termasuk mengenal pasti lebih banyak penempatan yang memenuhi kriteria bagi menerima peruntukan pada masa depan.