
KINABATANGAN, 28 Jun – Seorang lelaki maut manakala seorang wanita cedera selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas ke dalam parit di Kampung Paris 2, di sini, tengah hari tadi.
- Pemandu berusia 56 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan KKM.
- Penumpang wanita berusia 53 tahun cedera dan dihantar ke Hospital Lahad Datu menggunakan kenderaan keluarga.
- BBP Kinabatangan mengerahkan lima anggota dan sebuah jentera selepas menerima panggilan kecemasan.
- Pasukan bomba mengeluarkan mangsa, mayat diserahkan kepada polis, operasi tamat sepenuhnya pada 3.15 petang.
Kemalangan kendiri kira-kira 1.06 tengah hari itu menyebabkan pemandu yang berusia 56 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian. Kematian lelaki berkenaan disahkan pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Manakala penumpang wanita berusia 53 tahun pula mengalami kecederaan sebelum dihantar ke Hospital Lahad Datu menggunakan kenderaan ahli keluarganya untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Suriyadi Darwis dalam kenyataan memaklumkan, sepasukan lima anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 50 kilometer dari balai sebaik menerima panggilan kecemasan pada 1.06 tengah hari.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati kedua-dua mangsa masih berada di dalam kenderaan sebelum berjaya dikeluarkan.
“Bagaimanapun, pemandu disahkan meninggal dunia oleh pasukan KKM di lokasi kejadian, manakala penumpang yang cedera dihantar ke hospital untuk rawatan.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 3.15 petang selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.