
KULAI, 27 Jun – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan tiada gangguan serius di pintu masuk negara, khususnya di Tambak Johor pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai ini.
- Pasukan khas dibentuk sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh menjejaskan kelancaran operasi.
- Peralihan sistem imigresen daripada MyIMMs ke MyNIISe dikenal pasti sebagai risiko kepada operasi imigresen.
- Ketua Setiausaha KDN dan Jabatan Imigresen diarahkan membuat persiapan untuk mengelak kesesakan dan gangguan sistem.
- Kerajaan akan mempertimbangkan penyediaan laluan khas bagi memudahkan pengundi Malaysia dari Singapura pulang menunaikan tanggungjawab.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebuah pasukan khas telah ditubuhkan sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh menjejaskan kelancaran operasi.
Antara risiko dikenal pasti adalah gangguan berikutan peralihan sistem imigresen daripada Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) kepada Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe).
“Untuk itu, dalam menjangkakan gangguan ini, saya telah memberi arahan kepada Ketua Setiausaha KDN, Jabatan Imigresen untuk membuat persiapan sekiranya ia berlaku. Keadaan gangguan sistem yang menyebabkan kesesakan dan ia menyusahkan terutama rakyat Johor yang bekerja di Singapura,” katanya
Mengulas kemungkinan penyediaan laluan khas untuk pengundi Malaysia dari Singapura, beliau memaklumkan kerajaan akan mempertimbangkan semua ikhtiar yang perlu bagi memudahkan urusan mereka.
“Kita akan mengusahakan segala ikhtiar sekiranya perlu, termasuk menyediakan laluan yang dapat memudahkan pengundi Malaysia berada di Singapura pulang untuk menunaikan tanggungjawab mereka,” katanya.