
LA GUAIRA, 27 Jun – Angka kematian akibat gempa bumi yang mengegarkan Venezuela meningkat kepada 920 orang pada Jumaat.
- Lebih 50,000 orang dikhuatiri hilang selepas dua gempa kuat menghancurkan bangunan, menurut pegawai PBB.
- Gegaran bermagnitud 7.2 dan 7.5 meruntuhkan deretan bangunan di kawasan pesisir, menyukarkan usaha penyelamatan.
- Pasukan mencari dan menyelamat dari sekurang-kurangnya 17 negara digerakkan; bantuan antarabangsa termasuk kapal, pesawat, helikopter dan dana.
Puluhan ribu lagi dilaporkan masih hilang ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kini diperkukuh dengan kehadiran pasukan penyelamat antarabangsa.
Ketua Bantuan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Tom Fletcher memberitahu lebih 50,000 orang dikhuatiri hilang selepas dua gempa bumi kuat berlaku dalam selang masa seminit pada malam Rabu lalu, sekali gus meranapkan bangunan di utara negara tersebut.
Kawasan pesisir pantai La Guaira, yang terletak berhampiran ibu negara Caracas, merupakan wilayah paling teruk apabila deretan bangunan runtuh menyembah bumi akibat gegaran bermagnitud 7.2 dan 7.5.
“Malangnya, kemusnahan di sini adalah total dan harapan untuk menemui mangsa yang terselamat amat tipis. Usaha kini ditumpukan sepenuhnya untuk mengeluarkan mayat mangsa yang terkorban,” kata ketua pasukan penyelamat dari Chile, Nadiomar Polanco ketika ditemui di lokasi kejadian di sini.
Di kawasan lain, ahli keluarga, jiran tetangga dan sukarelawan terpaksa menggunakan tangan kosong untuk menggali runtuhan bagi menyelamatkan mangsa, sambil meluahkan rasa kecewa ekoran ketiadaan jentera berat atau bantuan rasmi daripada pihak berkuasa.
“Saya sedang mencari anak kecil saya, Gael… dia baharu berusia lima bulan,” kata Marjosly Salazar.
Seorang lagi anak perempuannya yang berusia 16 tahun disahkan terkorban, manakala bayi tersebut serta sepupunya masih hilang.
“Tolonglah, kami perlukan sokongan di sini. Kami perlukan jentera berat untuk mengangkat tiang-tiang konkrit ini. Kami langsung tidak nampak kelibat pegawai kerajaan di sini, tiada langsung,” ujarnya.
Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (OCHA) memaklumkan pasukan mencari dan menyelamat daripada sekurang-kurangnya 17 negara telah digerakkan, termasuk Sepanyol, El Salvador, Switzerland, Colombia dan Mexico yang kini sudah berada di lokasi.
Amerika Syarikat turut menghantar pegawai tentera kanan ke Caracas bagi menyelia misi bantuan melibatkan pengerahan dua kapal perang, pesawat pengangkut, helikopter serta dana bantuan bernilai $150 juta (kira-kira RM664 juta).
Washington juga menggantung sekatan ekonomi ke atas Venezuela selama empat bulan bagi mengelak sekatan tersebut menghalang operasi menyelamat.
Dilaporkan, mangsa yang terkorban turut melibatkan warga asing termasuk sembilan warga Portugal, lima Sepanyol, dua Brazil, dua China dan seorang warga Itali-Venezuela.
Puluhan yang lain daripada warganegara berkenaan juga dilaporkan masih hilang. – AFP