FIFA benarkan bendera pelangi walaupun dibantah

foto REUTERS

SEATTLE, 26 Jun – FIFA mengulangi pendirian bahawa bendera pelangi akan dibenarkan dibawa masuk ke Stadium Lumen Field di Seattle, esok ketika venue itu menjadi tuan rumah perlawanan Kumpulan G Piala Dunia antara Iran dengan Mesir, walaupun mendapat bantahan daripada kedua-dua persatuan bola sepak negara terbabit.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sambutan Pride diiktiraf sebagai 'Perlawanan Pride' oleh pihak berkuasa tempatan.
  • Pegawai Iran dan Mesir membantah sambutan Pride yang berkaitan perlawanan.
  • Iran menganggap hubungan sejenis jenayah, berpotensi dihukum mati; Mesir kerap menghukum bawah undang-undang 'perbuatan tidak bermoral'.
  • FIFA mengesahkan bendera pelangi dan simbol hak asasi dibenarkan dalam stadium; sambutan rasmi diadakan di luar kawasan.

Perlawanan itu merupakan sebahagian daripada acara sambutan Pride di seluruh bandar Seattle dan telah ditetapkan sebagai “Perlawanan Pride” oleh pihak berkuasa tempatan sebelum identiti pasukan yang bertanding diketahui.

Pegawai dari Iran dan Mesir masing-masing telah membantah sambutan Pride di Seattle yang berlangsung bersempena perlawanan tersebut.

Hubungan sejenis adalah menyalahi undang-undang di Iran bawah undang-undang Islam dan boleh dikenakan hukuman mati.

Di Mesir pula, hubungan sejenis sering dihukum bawah undang-undang yang dirangka secara umum berkaitan kesalahan “perbuatan tidak bermoral”.

Terdahulu, FIFA dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa bendera pelangi dibenarkan dibawa masuk ke dalam stadium.

“Piala Dunia FIFA 2026 merupakan acara yang inklusif,” kata jurucakap FIFA.

“Penyokong daripada semua orientasi seksual dan identiti jantina adalah dialu-alukan.

“Mesej yang menyokong hak asasi manusia, seperti bendera pelangi dan simbol lain yang mewakili identiti jantina, dibenarkan di dalam stadium selaras dengan kod tatakelakuan FIFA,” katanya.

FIFA, yang menguruskan acara di dalam stadium, menjelaskan bahawa “Perlawanan Pride” merupakan inisiatif penganjur tempatan, manakala sambutan rasmi diadakan di luar kawasan stadium.

Bercakap pada sidang media pra-perlawanan pada Khamis, jurulatih Iran dan Mesir mengelak daripada mengulas isu tersebut.

“Segala tumpuan kami hanya kepada bola sepak, kepada permainan yang indah ini, kepada rakyat kami dan kepada kejayaan,” kata jurulatih Iran, Amir Ghalenoei.

“Kami akan kekal positif. Kami tidak akan memikirkan perkara lain, seluruh fokus kami adalah di atas padang.

“Kami tidak akan memikirkan apa yang berlaku di luar padang,” katanya.

Jurulatih Mesir, Hossam Hassan, turut menyuarakan pendirian yang sama.

“Sebagai ketua jurulatih dan pengarah teknikal, kami hanya memberi tumpuan kepada bola sepak. Itulah satu-satunya perkara yang kami fikirkan,” katanya.

“Kami hanya memberi perhatian kepada bola sepak di atas padang. Sekali lagi, kami menghormati nilai hormat-menghormati dan semangat permainan adil sebagai prinsip yang perlu dipatuhi oleh semua pihak,” katanya. – AFP

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.