
SHAH ALAM, 18 Jun – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sedang merancang pelan penggantian bagi aset-aset udara yang telah berusia bagi memastikan kesiapsiagaan dan kedaulatan ruang udara negara sentiasa berada pada tahap yang tertinggi.
- Pesawat pejuang Sukhoi dijangka ditamatkan perkhidmatan menjelang 2035; beberapa C-130 Hercules telah beroperasi hampir 50 tahun.
- Pesawat diperoleh 1996 akan mencecah usia panjang; jangka hayatnya melebihi dasar sedia ada, perlu diganti bila tidak lagi optimum.
- Penggantian lebih kos efektif jangka panjang berbanding mengekalkan aset lama dengan kos penyelenggaraan sangat tinggi.
- Perbarisan Hari Ulang Tahun TUDM ke-68 bertema 'Kuasa Udara Perisai Negara' dan Hari Terbuka Pangkalan Udara Kuantan, 20-21 Jun.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris berkata langkah itu membabitkan perancangan masa hadapan untuk menggantikan pesawat pejuang Multi-Role Combat Aircraft (MRCA) jenis Sukhoi yang dijangka ditamatkan perkhidmatan menjelang tahun 2035, serta pesawat angkut C-130 Hercules yang kini sebahagiannya telah menjangkau usia operasi mencecah 50 tahun.
“Pesawat pejuang digunakan dan dilatih pada tahap maksimum kerana dalam situasi konflik, aset tersebut perlu beroperasi pada keupayaan tertingginya. Jika dilihat, pesawat yang diperoleh pada tahun 1996 akan menjangkau usia yang agak lama menjelang tahun 2035.
“Dari segi jangka hayat pula, ia akan melebihi tempoh yang ditetapkan dalam dasar sedia ada. Oleh itu, apabila tiba masanya dan aset berkenaan tidak lagi boleh digunakan secara optimum, kita perlu melaksanakan penggantian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika Perbarisan Hari Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia Ke-68, di sini, hari ini.
Keputusan untuk melaksanakan penggantian tersebut adalah lebih kos efektif bagi jangka masa panjang berbanding mengekalkan aset-aset lama yang memerlukan kos penyelenggaraan yang sangat tinggi.
Terdahulu, beliau menyempurnakan Perbarisan Hari Ulang Tahun TUDM ke-68 yang membawa tema ‘Kuasa Udara Perisai Negara’ sebagai simbolik kepada peranan utama pasukan itu dalam mempertahankan kedaulatan tanah air.
Sambutan itu turut disusuli dengan penganjuran Hari Terbuka TUDM yang dijadualkan berlangsung di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang pada 20 dan 21 Jun ini bagi memberi peluang kepada masyarakat mengenali aset dan keupayaan pertahanan udara negara dengan lebih dekat.