Perkhidmatan ETS kembali pulih, beberapa laluan masih alami kelewatan

 

Foto KTMB

KUALA LUMPUR, 15 Jun – Operasi perkhidmatan tren elektrik (ETS) kini kembali beroperasi sepenuhnya selepas kerja-kerja baik pulih dijalankan susulan kejadian alat talian atas (ATA) terputus di kilometer 458.872 antara Stesen Tiroi dan Seremban.

Kenyataan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan meskipun operasi telah disambung semula, beberapa perkhidmatan ETS masih mengalami kelewatan sementara bagi membolehkan jadual perjalanan kembali stabil.

“Antara laluan yang dijangka terkesan dengan kelewatan tersebut melibatkan sektor KL Sentral-JB Sentral-KL Sentral,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut KTMB, beberapa tren utama mencatatkan kelewatan signifikan, termasuk tren EX9573 (3 jam 34 minit), EG9442 (2 jam 51 minit), EP9524 (2 jam 35 minit) dan P9323 (2 jam 11 minit).

“Tren-tren lain seperti EP9326, EG9343, EX9575 dan EP9428 turut dilaporkan lewat antara 25 minit hingga 1 jam 40 minit.

Bagi mengurangkan kesulitan penumpang, KTMB telah mengambil langkah kebajikan dengan menyediakan makanan dan minuman ringan kepada pengguna tren yang mengalami kelewatan melebihi dua jam,” tambah kenyataan berkenaan.

KTMB turut menghantar notifikasi awal melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) kepada penumpang terlibat bagi memaklumkan status semasa serta jangkaan kelewatan untuk memudahkan mereka merancang perjalanan.

Di Stesen Seremban, anggota Polis Bantuan KTMB bersama kakitangan operasi telah dikerah bagi membantu menguruskan pergerakan penumpang serta menyalurkan maklumat terkini demi memastikan kelancaran di lokasi.

Orang ramai dan para penumpang dinasihatkan untuk sentiasa mendapatkan maklumat terkini melalui saluran media sosial rasmi KTMB atau merujuk terus kepada kakitangan stesen yang bertugas.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.