RM13.348 juta kos naik taraf, manfaat 1,775 kediaman

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hannah Yeoh pada sidang media selepas membuat tinjauan pelaksanaan projek penyelenggaraan dan penaiktarafan dua perumahan awam di ibu negara. Foto FB Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Sebanyak RM13.348 juta kos pelaksanaan pelbagai projek penyelenggaraan dan penaiktarafan di Perumahan Awam (PA) Seri Sarawak dan PA Jalan Loke Yew oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek DBKL memberi manfaat kepada 1,775 unit kediaman di PA Seri Sarawak dan PA Jalan Loke Yew.
  • Transformasi visual termasuk pengecatan semula bangunan dan turapan jalan untuk meningkatkan keselesaan serta kualiti persekitaran.
  • Peningkatan sistem janakuasa dan elektrik melalui penggantian genset serta penaiktarafan sub-main cable di kedua-dua perumahan.
  • Penggantian paip dry riser dan wet riser dilaksanakan untuk memperkukuh keselamatan kebakaran dan DBKL meneruskan penyelenggaraan berkala.

DBKL menerusi kenyataan memaklumkan pelaksanaan projek yang bertujuan meningkatkan kualiti kehidupan warga kota telah memberi manfaat kepada 1,775 unit kediaman di kedua-dua PA berkenaan.

“Di PA Seri Sarawak terdapat 768 unit kediaman. DBKL telah melaksana kerja-kerja transformasi visual dan infrastruktur melibatkan pengecatan semula bangunan serta turapan jalan dengan kos RM2.66 juta. Selain itu, sistem janakuasa dan elektrik turut dinaik taraf menerusi penggantian janakuasa tunggusedia (genset) dan penaiktarafan sub-main cable dengan peruntukan RM2.5 juta.

“Bagi memperkukuhkan aspek keselamatan, kerja kerja penggantian paip ‘dry riser’ dan ‘wet riser’ turut dilaksanakan dengan kos RM375,000,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, PA Jalan Loke Yew yang menempatkan 1,007 unit kediaman turut menerima pelbagai penambahbaikan melibatkan transformasi visual bangunan melalui kerja-kerja pengecatan semula dengan kos RM4.14 juta.

“Turut dilaksanakan, peningkatan sistem janakuasa dan elektrik penggantian genset dan penaiktarafan sub-main cable berjumlah RM3.2 juta.

“Manakala kerja-kerja penggantian paip ‘dry riser’ dan ‘wet riser’ bagi meningkatkan tahap keselamatan kebakaran dilaksanakan dengan kos RM473,000,” menurut kenyataan sama.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud membuat tinjauan di kedua-dua dua perumahan tersebut hari ini bagi melihat sendiri pelaksanaan program penyelenggaran perumahan awam secara berfasa dan berterusan.

Lawatan berkenaan memberi tumpuan kepada projek-projek utama yang telah dan sedang dilaksanakan bagi meningkatkan tahap keselamatan, keselesaan serta kebolehdiaman persekitaran kediaman penghuni.

Selain projek naik taraf, DBKL turut meneruskan kerja-kerja penyelenggaraan secara berkala melibatkan kemudahan awam seperti jalan dalaman, taman permainan, sistem pencahayaan, lif serta pengurusan aduan dan pemeriksaan berkala bagi memastikan setiap kemudahan sentiasa berada dalam keadaan baik dan berfungsi dengan sempurna.

“Usaha berterusan ini mencerminkan komitmen DBKL dalam memastikan aset perumahan awam di Kuala Lumpur terus dipelihara dan dipertingkatkan sejajar dengan keperluan semasa, sekali gus mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih selamat, selesa dan berkualiti untuk dinikmati oleh seluruh warga kota,” menurut kenyataan itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.