
BAMAKO, 13 Jun – Kumpulan militan Jama’at Nusrat al-Islam wal Muslimeen (JNIM) yang dikaitkan dengan al-Qaeda, kin mengubah strategi politiknya di Mali daripada kekerasan ekstrem kepada pentadbiran yang lebih bertoleransi bagi meraih sokongan penduduk tempatan.
- JNIM mengutip cukai hasil bumi, mengagihkan semula kepada miskin dan menyediakan bantuan perubatan di kawasan mereka.
- Mereka menubuhkan sistem keadilan Syariah yang pantas dan cekap; penduduk mematuhi peraturan sebagai strategi untuk terus hidup.
- Operasi ketenteraan Mali dan Rusia membunuh tiga hingga empat kali ganda lebih ramai orang awam, membuka ruang untuk JNIM.
Kumpulan yang dahulunya terkenal dengan pendekatan kejam termasuk mengharamkan muzik, rokok dan majlis perkahwinan di rantau Sahel dilaporkan mula melaksanakan pentadbiran seperti mengutip cukai hasil bumi untuk diagihkan semula kepada golongan miskin, selain menyediakan bantuan perubatan.
Pakar rantau Sahel, Corinne Dufka menjelaskan bahawa JNIM telah berevolusi daripada sebuah organisasi pengganas global yang menyasarkan orang awam kepada sebuah gerakan pemberontakan berasaskan agama.
“Mereka menyediakan sistem keadilan Syariah yang disifatkan penduduk sebagai pantas dan cekap, menyampaikan bantuan kemanusiaan serta menangani isu jenayah rompakan.
“Bagi penduduk tempatan, mematuhi syarat JNIM kini menjadi satu strategi untuk terus hidup,” kata Dufka.
Pengaruh JNIM dilaporkan semakin meluas di wilayah tengah dan utara Mali sejak junta tentera yang merampas kuasa pada 2020 mengusir kira-kira 15,000 tentera Perancis dan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), sebelum beralih kepada bantuan tentera upahan Rusia untuk mengekang pemberontakan.
Kumpulan itu membuktikan kekuatan pada April lepas melalui serangan besar-besaran yang diselaraskan dengan puak pemisah dipimpin etnik Tuareg, termasuk menyerang lapangan terbang di ibu negara Bamako serta menawan beberapa pangkalan tentera udara di utara.
Sementara itu, Menteri Luar Mali, Abdoulaye Diop menegaskan kerajaan Mali tidak berhasrat untuk mengadakan sebarang dialog dengan kumpulan pengganas bersenjata tersebut yang menjadi punca kepada penderitaan rakyat selama bertahun-tahun.
Di sebalik imej pentadbiran bersih yang cuba ditonjolkan, JNIM terbukti masih berupaya melakukan keganasan kejam, termasuk serangan pada Mei lepas yang mengorbankan kira-kira 50 orang awam dan militia prokerajaan di tengah Mali, selain mengenakan sekatan sekatan ekonomi ketat ke atas kawasan yang menentang mereka.
Data daripada kumpulan pemantau konflik ACLED mendedahkan, dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, operasi ketenteraan agresif oleh tentera Mali dan sekutu mereka, Rusia telah mengorbankan tiga hingga empat kali ganda lebih banyak nyawa orang awam berbanding kumpulan pemberontak.
Ia sekali gus mewujudkan ruang untuk JNIM mengeksploitasi keadaan. – REUTERS