
GENEVA, 11 Jun – Buat julung kalinya, dalam tempoh 10 tahun, angka penduduk yang hilang tempat tinggal di seluruh dunia berkurangan kepada 118 juta orang pada 2025.
- Lebih 90 peratus kepulangan pelarian tahun lalu melibatkan Afghanistan, Sudan dan Syria.
- Ramai memilih pulang walaupun menghadapi keadaan tidak selamat; kepulangan di bawah tekanan bukan penyelesaian.
- UNHCR bimbang peluang penempatan semula terhad; sekitar 2.9 juta pelarian memerlukan negara ketiga tahun lalu.
Agensi Pelarian PBB, UNHCR dalam laporan terbaharu menyatakan, jumlah itu turun sebanyak 5.4 juta individu berbanding pada penghujung tahun 2024.
Lebih ramai memilih untuk pulang ke tanah air mereka walaupun, kebanyakannya masih berdepan keadaan yang tidak selamat dan tidak stabil.
Pesuruhjaya Tinggi UNHCR, Barham Salih memaklumkan, lebih 90 peratus kepulangan pelarian tahun lepas melibatkan Afghanistan, Sudan serta Syria.
“Bagaimanapun, kepulangan di bawah tekanan dan tidak selamat itu, bukan penyelesaian dan berisiko menjadi satu lagi kitaran perpindahan.
“Konflik di Asia Barat juga telah memaksa 3.2 juta penduduk Iran meninggalkan kediaman masing-masing dan di Lubnan pula menyaksikan lebih satu juta orangg kehilangan tempat tinggal,”katanya.
Dalam masa sama, UNHCR menyuarakan kebimbangan mengenai peluang penempatan semula pelarian memandangkan tahun lepas sahaja dianggarkan 2.9 juta pelarian memerlukan penempatan di negara ketiga. – AFP