
BEIRUT, 11 Jun – Serangan udara Israel ke atas Lubnan pada Rabu mengorbankan sekurang-kurangnya 12 orang, menurut sumber perubatan yang dipetik AFP.
- Lapan terbunuh di Tayr Debba dan empat maut di Deir Qanun al-Nahr.
- Israel menyasarkan lebih 30 lokasi di selatan dan timur Lubnan, termasuk bandar Tyre; arahan pemindahan dikeluarkan sebelum serangan.
- Serangan turut mengenai sebuah kenderaan di Sidon; konflik Israel dengan Hizbullah berterusan walaupun terdapat usaha diplomatik.
Sumber itu berkata lapan orang terbunuh dalam serangan di Tayr Debba, manakala empat lagi maut di Deir Qanun al-Nahr.
Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA) melaporkan Israel menyasarkan lebih 30 lokasi di selatan dan timur Lubnan.
Ini termasuk bandar Tyre yang menyaksikan tentera Zionis buat pertama kali mengeluarkan arahan pemindahan kepada seluruh penduduk sebelum memulakan serangan.
Tentera Zionis turut dilapor menyerang sebuah kenderaan di Sidon, bandar pesisir yang terletak jauh dari sempadan dan menjadi lokasi perlindungan bagi sebahagian penduduk yang dipindahkan akibat konflik.
Konflik antara Israel dengan Hizbullah berterusan dengan kedua-dua pihak saling berbalas serangan meskipun terdapat usaha diplomatik bagi mencapai gencatan senjata. – AFP