
KUALA KRAI, 10 Jun – Aktiviti pemburuan haram dan pemilikan bahagian hidupan liar tumpas apabila polis berjaya menahan lapan warga Myanmar termasuk dua wanita dalam Op Bersepadu/Op Khazanah di sebuah ladang durian di Kampung Mia di sini awal pagi semalam.
- Operasi dijalankan IPD Kuala Krai bersama PERHILITAN bermula jam 12 tengah malam hingga 6 pagi.
- Rampasan termasuk senapang angin, dua lembing, kuku, taring, tulang dan tong berisi daging hidupan liar.
- Siasatan dibuka mengikut Akta Imigresen, Akta Senjata 1960, Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil Senjata Berbahaya 1958 dan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
- PDRM akan terus ambil tindakan tegas dan menyeru orang ramai salurkan maklumat bagi memelihara khazanah hidupan liar negara.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, operasi yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) itu bermula pada pukul 12 tengah malam Isnin lalu dan berakhir pukul enam pagi semalam.
Hasil pemeriksaan, pihak berkuasa menahan enam warga Myanmar terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita selain menemui seorang bayi lelaki dan seorang bayi perempuan bersama mereka.
“Turut dirampas dalam operasi itu, selaras senapang angin dan dua bilah lembing yang dipercayai digunakan bagi tujuan pemburuan haram.
“Pemeriksaan lanjut turut menemukan enam unit disyaki kuku hidupan liar, 12 unit disyaki taring hidupan liar, tujuh unit disyaki tulang hidupan liar, enam unit bahagian hidupan liar serta satu tong berisi daging yang dipercayai daripada hidupan liar,” katanya dalam satu kenyataan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, Seksyen 7(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil Senjata Berbahaya 1958 dan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Katanya, kejayaan operasi itu adalah hasil kerjasama erat antara PDRM dan PERHILITAN serta maklumat yang disalurkan orang awam.
Beliau memaklumkan, pihak polis akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti menyalahi undang-undang berkaitan hidupan liar dan menyeru orang ramai terus menyalurkan maklumat bagi memastikan khazanah hidupan liar negara terus terpelihara.