
TANAH MERAH, 9 Jun – Seorang lelaki warga Thailand ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas dipercayai menerima upah RM10 untuk menghantar beras seludup di Kampung Lalang Pepuyu, malam semalam.
- Warga Thailand ditahan PGA selepas mengaku menerima upah RM10 untuk menghantar beras seludup.
- Suspek cuba melarikan diri, ditahan selepas pergelutan; dirujuk BSJ IPD Tanah Merah kerana tiada dokumen pengenalan.
- Kenderaan dirampas dan diserahkan kepada JKDM Bukit Bunga; kes disiasat mengikut Akta Kastam dan Akta Imigresen.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, suspek berusia 34 tahun itu ditahan kira-kira pukul 10.15 malam.
Beliau berkata, pemandu terbabit cuba melarikan diri ke kawasan semak berhampiran sebelum berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan.
Katanya, suspek mengaku menerima upah RM10 daripada individu dikenali sebagai ‘Ayah Lie’ untuk menghantar beras berkenaan dari Pengkalan Haram Batu ke sebuah stor berhampiran
“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan 721 kilogram beras yang disyaki diseludup dari Thailand.
“Turut dirampas sebuah kenderaan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM10,884,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Radzi berkata, suspek telah terbabit dalam kegiatan penyeludupan beras sejak kira-kira dua bulan lalu.
Menurutnya, suspek dirujuk kepada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.
Manakala barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Bukit Bunga untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.