KUSKOP percepat usaha bawa PMKS Malaysia ke pasaran Asia Timur

Foto KUSKOP

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mempercepat usaha mengantarabangsakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia, khususnya ke pasaran Asia Timur, menerusi penyertaan Menterinya, Steven Sim dalam lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Tokyo, Jepun bermula hari ini hingga 10 Jun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perancangan menumpu pengukuhan kerjasama ekonomi Malaysia-Jepun, membuka peluang perdagangan, pelaburan dan akses pasaran antarabangsa untuk PMKS tempatan.
  • KUSKOP dan Bank Rakyat menganjurkan Bank Rakyat BizMatch untuk menghubungkan usahawan Malaysia dan Jepun meneroka perdagangan serta pelaburan baharu.
  • Penyertaan FOODEX Japan 2026 menghasilkan jualan keseluruhan RM350.8 juta, empat MoU dan dua MoA, melebihi sasaran awal.
  • PMKS menyumbang 96.1% perniagaan, 39.5% KDNK dan eksport RM196.8 bilion pada 2024, menunjukkan kepentingan ekonomi besar.

Fokus tertumpu kepada usaha memperkukuh kerjasama ekonomi Malaysia-Jepun serta membuka lebih banyak peluang perdagangan, pelaburan dan akses pasaran antarabangsa kepada PMKS tempatan.

“Sempena lawatan tersebut, KUSKOP bersama Bank Rakyat akan menganjurkan program Bank Rakyat BizMatch: Make Malaysian Businesses Great yang menghimpunkan usahawan kedua-dua negara bagi meneroka peluang perdagangan, pelaburan serta kerjasama perniagaan baharu.

“Program itu diadakan bersempena Forum Nikkei: Future of Asia 2026, yang merupakan antara forum ekonomi paling berpengaruh dan berprestij di dunia,” menurut KUSKOP dalam satu kenyataan.

Berdasarkan kenyataan sama, Jepun kekal sebagai antara rakan ekonomi terpenting Malaysia dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah RM142.96 bilion pada 2025, sekali gus menjadikannya rakan dagang kelima terbesar negara di peringkat global.

Usaha memperluas akses PMKS ke pasaran Jepun turut dibina berasaskan kejayaan beberapa inisiatif pengantarabangsaan yang dilaksanakan kementerian itu sebelum ini.

Menerusi penyertaan dalam pameran FOODEX Japan 2026 di Tokyo, sebanyak 31 syarikat dan koperasi Malaysia berjaya menjana nilai jualan keseluruhan RM350.8 juta, merangkumi RM318.9 juta potensi jualan dan RM31.9 juta jualan sebenar.

Pencapaian itu jauh melepasi sasaran awal RM80 juta potensi jualan, selain menyaksikan pemeteraian empat memorandum persefahaman (MoU) dan dua memorandum perjanjian (MoA) antara syarikat Malaysia dengan rakan perniagaan antarabangsa.

Steven menyifatkan kejayaan tersebut bukti produk dan perusahaan Malaysia mempunyai daya saing tinggi di pasaran global.

“Cabaran seterusnya adalah membantu lebih banyak PMKS tempatan berkembang ke peringkat serantau dan antarabangsa menerusi kerjasama rentas sempadan serta penyertaan dalam rantaian bekalan global,” katanya.

PMKS Malaysia kini mewakili 96.1 peratus daripada keseluruhan perniagaan negara, menyumbang 39.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta mencatat nilai eksport sebanyak RM196.8 bilion pada 2024.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.