MBPJ raikan 20 tahun status Bandar Raya dengan pelbagai program komuniti

Foto MBPJ

PETALING JAYA, 7 Jun – Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan menganjurkan Festival Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya ke-20 dari 16 hingga 21 Jun ini bersempena dua dekad pengisytiharan Petaling Jaya sebagai bandar raya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program menumpukan pembelajaran sepanjang hayat, pendigitalan, kelestarian alam, pembangunan komuniti dan pemeliharaan warisan budaya.
  • Aktiviti utama termasuk PJ Learning City Festival, PJ Digital, kitar semula, festival makanan, seni budaya, program kesihatan, pertandingan LEGO Robotics, aktiviti kanak-kanak dan warga emas.
  • Kemuncak di Laman MBPJ: perarakan komuniti, persembahan kebudayaan, artis jemputan dan pertunjukan bunga api.
  • MBPJ beri penghargaan kepada warga kota melalui tempat letak kereta percuma, keahlian perpustakaan percuma, agihan anak pokok, baja kompos dan abate.

Sambutan selama enam hari ini menampilkan 11 program utama dan enam perkhidmatan percuma yang memberi tumpuan kepada pembelajaran sepanjang hayat, pendigitalan, kelestarian alam sekitar, pembangunan komuniti dan kebudayaan.

Antara program utama ialah PJ Learning City Festival 2026, PJ Digital 2026 serta aktiviti kitar semula dan kelestarian.

Selain itu, festival makanan, persembahan seni budaya, program kesihatan, pertandingan LEGO Robotics serta aktiviti untuk kanak-kanak dan warga emas.

Foto MBPJ

Kemuncak sambutan akan berlangsung pada 20 Jun di Laman MBPJ dengan perarakan komuniti, persembahan kebudayaan, artis jemputan dan pertunjukan bunga api.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Zahri Samingon berkata sambutan ini bukan sahaja menghargai pencapaian bandar raya sepanjang 20 tahun, malah memperkukuh komitmen ke arah pembangunan bandar yang mampan, pintar dan berdaya tahan.

“Dua dekad ini menyaksikan transformasi Petaling Jaya hasil kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan, komuniti, sektor swasta dan pelbagai pemegang taruh.

“Sambutan ini merupakan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang kepada pembangunan bandar raya,” katanya pada Majlis Prapelancaran Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya Ke-20 di Dewan Sivik MBPJ.

Foto MBPJ

Sebagai penghargaan kepada warga kota, MBPJ turut menawarkan tempat letak kereta percuma, keahlian percuma Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya serta agihan anak pokok, baja kompos organik dan abate sepanjang tempoh sambutan.

Orang ramai dijemput hadir memeriahkannya dan menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan.

Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman sesawang serta saluran media sosial rasmi MBPJ.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.