Suami isteri ditahan, simpan 19,600 batang rokok seludup

Sepasang suami isteri ditahan bagi membantu siasatan/Foto PGA Briged Tenggara

KOTA BHARU, 7 Jun – Sepasang suami isteri ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan menyimpan dan menjual rokok seludup dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Binjai Manis, petang semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • PGA merampas 19,600 batang rokok pelbagai jenis dan barangan bernilai anggaran RM36,748.
  • Semua suspek negatif dadah dan tiada rekod lampau berkaitan kesalahan itu.
  • Barang rampasan dan suspek diserahkan kepada BSJ IPD Kota Bharu, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi Op Taring Wawasan merampas 19,600 batang rokok pelbagai jenis serta barangan berkaitan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM36,748.

Komander Briged Tenggara PGA Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata serbuan pada pukul 5.15 petang itu membawa kepada penahanan seorang wanita tempatan berusia 39 tahun.

Beliau berkata, suami wanita berkenaan yang juga lelaki warga Pakistan berusia 31 tahun turut ditahan selepas kedua-duanya mengaku menyewa rumah terbabit.

“Siasatan awal mendapati wanita terbabit dipercayai berperanan menyewa premis serta membantu suaminya dalam urusan penyimpanan dan penjualan rokok tidak bercukai.

“Lelaki warga asing itu pula dipercayai menjaga dan menghantar bekalan rokok bagi pihak seorang individu lain dengan kadar upah RM1,500 sebulan,” katanya menerusi kenyataan pada malam Sabtu.

Katanya, kedua-dua suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan itu.

“Semua barang rampasan dan suspek diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.