
JITRA, 4 Jun – Tujuh lelaki warga Myanmar ditahan di kawasan bahu jalan Tol Jitra Utara, Kedah hasil risikan dan pemantauan yang dijalankan.
- Semua ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah ketika pemeriksaan.
- Individu berumur 22 hingga 37 tahun didapati menunggu kenderaan pengangkut di lokasi sebelum diperiksa.
- Tangkapan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa JIM bagi siasatan dan tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63.
- Siasatan lanjut untuk kenal pasti modus operandi, sama ada mereka baru tiba atau meninggalkan negara, dan mengesan sindiket yang terlibat.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kedah dalam kenyataan memaklumkan, kesemua pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah semasa pemeriksaan dijalankan.
“Kesemua individu berusia 22 hingga 37 tahun itu didapati sedang menunggu kenderaan pengangkut di lokasi berkenaan sebelum diperiksa oleh pasukan
penguat kuasa.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati mereka tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau dokumen pengenalan diri yang sah untuk berada di negara ini.
“Kesemua tangkapan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa JIM Negeri Kedah bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan Akta Imigresen 1959/63 serta peraturan-peraturan berkaitan,” menurut kenyataan itu.
Siasatan lanjut dilakukan bagi mengenal pasti modus operandi pergerakan kumpulan terbabit, termasuk sama ada mereka baharu tiba di Malaysia atau sedang dalam proses untuk meninggalkan negara ini melalui saluran tidak sah.
Siasatan turut menjurus kepada usaha mengesan dan mengenal pasti individu atau sindiket yang dipercayai bertindak sebagai dalang dalam menguruskan
pergerakan warga asing terbabit.