Mourinho kembali kemudi Real Madrid jika Perez kekal presiden

Presiden Real Madrid, Florentino Perez (kiri) berhasrat membawa pulang Jose Mourinho  (kanan) ke kelab itu sekiranya menang pemilihan pada Ahad ini / foto REUTERS

MADRID, 4 Jun – Jose Mourinho berpotensi kembali mengemudi Real Madrid sekiranya Florentino Perez berjaya mempertahankan jawatan presiden kelab itu dalam pemilihan yang dijadual berlangsung pada Ahad ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perez mengumumkan hasrat membawa semula Jose Mourinho ketika berkempen untuk penggal baharu sebagai presiden.
  • Mourinho mengendalikan Fenerbahce kini, pernah memimpin Real 2010 hingga 2013 dan menjuarai La Liga 2011/2012.
  • Real gagal meraih sebarang trofi utama musim ini, manakala Barcelona muncul juara La Liga buat musim kedua berturut turut.
  • Tersingkir di suku akhir Liga Juara dua musim berturut turut dan prestasi hambar jadi alasan pemilihan awal Perez.

Perez mengumumkan hasrat tersebut pada Rabu ketika berkempen untuk penggal baharu sebagai presiden Real Madrid. Beliau berdepan cabaran usahawan tenaga boleh baharu, Enrique Riquelme, dalam pemilihan pertama dalam tempoh 20 tahun.

Menurut Perez, beliau merancang membawa semula jurulatih dari Portugal itu yang pernah mencatat kejayaan besar bersama Real, termasuk membantu kelab berkenaan meraih rekod kutipan 100 mata dalam saingan La Liga musim 2011/2012.

Mourinho, yang kini mengendalikan Fenerbahce di Turkiye, pernah membimbing Real Madrid dari 2010 hingga 2013 dan menamatkan dominasi Barcelona menerusi kejayaan menjulang trofi La Liga pada musim 2011/2012.

Pengumuman itu dibuat susulan prestasi hambar Real Madrid musim ini apabila gagal meraih sebarang trofi utama. Barcelona pula muncul juara La Liga buat musim kedua berturut-turut.

Selain itu, Real yang merupakan juara Liga Juara UEFA sebanyak 15 kali, turut tersingkir di peringkat suku akhir kejohanan berprestij Eropah itu dalam dua musim berturut-turut.

Kegagalan meraih kejayaan besar musim ini dilihat antara faktor yang mendorong Perez mengadakan pemilihan lebih awal bagi mendapatkan mandat baharu untuk menerajui kelab tersebut. – REUTERS

 

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.