TPM Zahid luang masa ke PBAKL, beli dua buku terbitan UPSI

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membeli dua buah buku terbitan UPSI di PBAKL 2026. Foto fail RTM

KUALA LUMPUR, 3 Jun – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluangkan masa ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 yang berlangsung selama 10 hari hingga 7 Jun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Beliau membeli dua buku terbitan UPSI: Penulisan Proposal Penyelidikan Ilmiah dan Menulis Petikan dan Rujukan Gaya APA Edisi Kedua.
  • Melawat reruai Penerbit UPSI di Pavilion MAPIM dan menyatakan sokongan terhadap budaya ilmu, penyelidikan serta penerbitan akademik negara.
  • Pegawai UPSI menyifatkan kunjungan itu sebagai pengiktirafan bermakna yang menggalakkan penyelidik dan penerbitan ilmiah tempatan.

Dalam kunjungan pada Sabtu lalu, beliau antaranya telah berkunjung ke reruai Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Pavilion Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) serta menzahirkan sokongan terhadap usaha memperkasa budaya ilmu, penyelidikan dan penerbitan akademik negara.

Sebagai tanda penghargaan terhadap karya ilmiah tempatan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah membeli dua buah buku terbitan Penerbit UPSI iaitu Penulisan Proposal Penyelidikan Ilmiah dan Menulis Petikan dan Rujukan Gaya APA Edisi Kedua.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Profesor Dr Suriani Abu Bakar menyifatkan kunjungan tersebut sebagai satu pengiktirafan yang amat bermakna terhadap peranan universiti dalam memacu agenda penyelidikan dan penerbitan ilmiah negara.

“Kesudian Datuk Seri Dr Ahmad Zahid memilih karya terbitan UPSI ini mencerminkan sokongan berterusan kerajaan terhadap pembangunan budaya ilmu dan ekosistem penyelidikan negara.

“Sokongan seumpama ini memberi semangat kepada penyelidik dan akademia untuk terus menghasilkan buku yang berkualiti, relevan dan berimpak tinggi,” katanya menerusi kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Penerbit UPSI, Profesfor Madya Dr. Nordiana Hamzah berkata sokongan pemimpin negara terhadap penerbitan universiti membuktikan karya ilmiah tempatan terus mendapat tempatan dan perhatian dalam kalangan pembuat dasar dan masyarakat.

Kami amat berbesar hati dan berterima kasih atas kesudian Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengunjungi reruai Penerbit UPSI serta membeli buku-buku terbitan kami.

“Sokongan ini bukan sahaja memberi pengiktirafan kepada usaha penerbit universiti, malah menggalakkan penghasilan lebih banyak karya ilmiah yang dapat menyumbang kepada pembangunan ilmu, pendidikan dan kesejahteraan masyarakat,” ujar beliau menerusi kenyataan.

Pavilion MAPIM menghimpunkan pelbagai penerbit dan institusi ilmu negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.