AS, Iran saling lancar serangan balas, rundingan damai Selat Hormuz kini buntu

Foto REUTERS

WASHINGTON, 1 Jun – Hubungan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran kembali tegang selepas kedua-dua pihak saling melancarkan serangan balas terbaharu hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rundingan damai kini buntu akibat perbezaan mengenai program nuklear Iran, kedaulatan Selat Hormuz, dan syarat menghentikan serangan Israel ke Lubnan.
  • AS menyerang tapak radar dan kawalan dron Iran; IRGC membalas dengan peluru berpandu dan serangan dron ke pangkalan udara AS.
  • Ketegangan merebak serantau apabila Israel memperluas serangan darat di Lubnan, menawan Istana Beaufort, mendorong mesyuarat tergempar UNSC.

Tindakan berkenaan sekali gus menggugat gencatan senjata yang sedia rapuh ketika rundingan damai bagi menamatkan perang kini dilaporkan menemui jalan buntu.

Situasi terbaharu itu menyusul selepas tentera AS melancarkan serangan ke atas tapak radar dan kawalan dron Iran.

Manakala Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) bertindak membalas dengan menyasarkan pangkalan udara tentera AS.

Siri rundingan rumit selama berminggu-minggu yang sebelum ini diharapkan dapat menamatkan peperangan dan membuka semula Selat Hormuz kini dilaporkan terjejas ekoran perbezaan pendapat kedua-dua pihak.

Washington dan Tehran masih gagal mencapai kata sepakat berhubung beberapa isu utama termasuk program nuklear Iran, isu hak kedaulatan di Selat Hormuz, serta tuntutan Tehran agar serangan Israel ke atas Lubnan dihentikan sebagai sebahagian daripada perjanjian menyeluruh.

Menurut laporan media AS, The New York Times dan Axios, Presiden Donald Trump sebelum ini bertindak memulangkan semula draf rangka kerja perjanjian tersebut kepada Iran dengan mengenakan terma-terma yang “lebih ketat” bagi memastikan negara itu tidak memiliki senjata nuklear.

Bagaimanapun, rundingan bertulis itu disifatkan masih jauh daripada penyelesaian apabila perunding utama Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf menegaskan pihaknya tidak akan meluluskan sebarang perjanjian selagi hak rakyat Iran tidak dipertahankan.

Tehran dilapor menuntut pelepasan asetnya yang dibekukan bernilai AS$12 bilion sebelum rundingan substansif mengenai nuklear diteruskan.

Tehran turut menolak dakwaan Trump bahawa parlimen Iran akan menyerahkan kedaulatan pengurusan pentadbiran di Selat Hormuz.

Ketegangan di meja rundingan kini merebak ke medan perang apabila tentera AS mengesahkan telah memusnahkan kemudahan dron Iran di selatan negara itu ekoran tindakan Tehran menembak jatuh dron MQ-1 milik AS sepanjang hujung minggu lalu.

Tidak lama kemudian, stesen penyiaran rasmi IRIB melaporkan pihak IRGC bertindak membalas dengan melancarkan peluru berpandu dan serangan dron ke arah pangkalan udara tentera AS, yang turut menyaksikan sistem pertahanan udara Kuwait terpaksa diaktifkan bagi memintas serangan yang merentasi ruang udaranya.

Situasi geopolitik serantau dijangka terus meruncing apabila sekutu AS, Israel, dilaporkan memperluaskan serangan daratnya di Lubnan selepas berjaya menawan kubu strategik Istana Beaufort, yang mendorong Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) mengadakan mesyuarat tergempar pada Isnin. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.