
ALOR SETAR, 28 Mei – Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai cuba menyelamatkan sebuah ‘jet ski’ yang hanyut di tengah laut dalam kejadian di Jalan Pantai Tengah, Langkawi pada Khamis.
- JBPM terima maklumat daripada orang awam pukul 9 malam; tiba di lokasi 22 minit kemudian.
- Lima anggota BBP Persiaran Putra digerakkan ke lokasi kejadian.
- Mangsa, Arash Nashran Abdul Maser, 23, dipercayai lemas kira kira 100 meter dari pantai, tidak memakai jaket keselamatan.
- Operasi pencarian awal di persisiran pantai bersama orang awam gagal menemui mangsa; PPDA memulakan SAR awal pagi.
Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Langkawi, Penguasa Bomba Mohd Zamri Abdul Ghani memaklumkan, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian daripada orang awam pada pukul 9 malam, sebelum tiba di lokasi 22 minit kemudian.
Seramai lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Persiaran Putra digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba kami dimaklumkan mangsa, Arash Nashran Abdul Maser, 23 tahun dipercayai lemas di laut pada jarak kira-kira 100 meter dari pantai.
“Mangsa dipercayai cuba menyelamatkan ‘jet ski’ yang hanyut di tengah laut sebelum ombak kuat menyebabkan mangsa tercampak ke dalam air. Difahamkan mangsa tidak memakai jaket keselamatan ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Operasi pencarian awal turut dijalankan di kawasan persisiran pantai bersama orang awam, namun mangsa masih belum ditemukan.
Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) akan memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) awal pagi ini bagi mengesan mangsa,” katanya.