
JOHOR BAHRU, 28 Mei – Seorang lelaki disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail, di sini pada Rabu, selepas ditanduk seekor kerbau, ketika ibadah korban di Kampung Tenang, Ulu Tiram.
- Bedah siasat menentukan punca kematian: kecederaan saluran darah pada kaki kiri.
- Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.
- Laporan lain: seorang lelaki patah tulang rusuk kiri selepas kerbau bertindak liar, dirawat di Hospital Sultan Ismail.
- Jabatan Veterinar Negeri Johor dimaklumkan; orang ramai diminta tidak membuat spekulasi atau menyebar maklumat tidak sahih.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mohd Sohaimi Ishak dalam kenyataan memaklumkan, mangsa, 45 tahun dilaporkan mengalami kecederaan saluran darah pada kaki kiri dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu.
“MAngsa yang cedera dibawa ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan. Namun pada 27 Mei kira-kira 11.00 malam, mangsa disahkan meningggal dunia di hospital.
“Hasil laporan bedah siasat terhadap mangsa mendapati sebab kematian adalah ‘kecederaan saluran darah (vaskular) kaki kiri’. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (sdr) dan tidak melibatkan sebarang unsur jenayah,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu terdapat satu lagi laporan berkenaan seorang lelaki warga tempatan berumur 45 tahun yang mengalami kecederaan patah tulang rusuk bahagian kiri apabila seekor kerbau untuk ibadah korban tiba-tiba bertindak liar.
“Kejadian tersebut berlaku pada 27 Mei kira-kira 2.00 petang di kawasan Batu 19, Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram.
“Mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru. Setakat ini, pihak polis tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian ini,” tambah kenyataan itu.
Pemakluman berkenaan kedua-dua kejadian itu telah dibuat kepada pihak Jabatan Veterinar Negeri Johor untuk tindakan susulan.
Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih mengenai kes tersebut.