
KUALA LUMPUR 27 Mei – Laporan tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) belum dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri.
- Menteri Fahmi: laporan SUHAKAM dijangka diteliti dalam mesyuarat Kabinet minggu hadapan.
- Biasanya laporan tahunan SUHAKAM dibentang dan dibahaskan di Parlimen sebelum tindakan lanjut dibuat.
- Jabatan Penjara akan memberi kerjasama penuh, meneliti laporan Taiping secara menyeluruh, terperinci dan berintegriti.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu dijangka diteliti dalam mesyuarat Kabinet minggu hadapan.
Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, kebiasaannya laporan tahunan SUHAKAM akan dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen sebelum sebarang tindakan lanjut diputuskan oleh kerajaan.
“Biasanya laporan tahunan SUHAKAM akan dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen.
“Kita akan teliti sama ada isu ini akan dibawa dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu hadapan. Sementara itu, boleh juga dirujuk kepada Kementerian Dalam Negeri atau Jabatan”. katanya demikian ketika ditemui media pada Program Korban Perdana Perpaduan Lembah Pantai 2026, di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Jabatan Penjara Malaysia akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak-pihak berkaitan bagi meneliti laporan SUHAKAM berhubung insiden provokasi prospek yang berlaku di Penjara Taiping, tahun lalu.
Jabatan itu berkata, perkara itu akan diteliti secara menyeluruh, terperinci dan berintegriti, demi memastikan setiap perkara yang dibangkitkan dapat diberikan perhatian sewajarnya.
Tambahnya, jabatan itu memandang serius setiap dapatan, syor serta perkara yang dibangkitkan dalam laporan berkenaan, termasuk dakwaan yang mengaitkan aspek pengurusan dan kakitangan penjara dalam insiden tersebut.
Mengulas lanjut, Fahmi yang merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, kerajaan sememangnya mengambil serius dapatan yang dikemukakan SUHAKAM dan akan meneliti perkara berkenaan secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan dibuat.