Dua jenazah pekerja pelantar minyak selamat dikebumikan

Jenazah dua pekerja yang maut dalam insiden kemalangan di Pelantar Sepat, perairan Terengganu-Kelantan, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali, Kuantan – RTM

KUANTAN, 25 Mei – Jenazah dua pekerja yang maut dalam insiden kemalangan di Pelantar Sepat, perairan Terengganu-Kelantan, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali, di sini hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jenazah disolatkan di masjid masing-masing sebelum dikebumikan.
  • Bedah siasat dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu.
  • Insiden di Pelantar Sepat mengorbankan tiga pekerja, seorang parah; ratusan hadir memberi penghormatan terakhir.

Allahyarham Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, 37 tahun selamat dikebumikan pada 5.56 petang disusuli Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28 tahun kira-kira 40 minit kemudian.

Jenazah Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid tiba di tanah perkuburan selepas disolatkan di Masjid Imam Ash-Shafie Kota SAS, Kuantan – RTM

Terdahulu, jenazah Nik Muhammad Hafifi Asri dibawa ke Masjid Imam Ash-Shafie Kota SAS, manakala jenazah Muhammad Faezuan Hakim ke Masjid Cenderawasih, di sini untuk disolatkan.

Jenazah kedua-dua pekerja berkenaan sebelum itu dibedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Terengganu.

Jenazah Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam dibawa ke tanah perkuburan selepas disolatkan di Masjid Cenderawasih, Kuantan – RTM

Dalam pada itu, situasi pilu menyelubungi tanah perkuburan yang dihadiri ratusan orang terdiri daripada ahli keluarga, rakan sekerja dan kenalan kedua-dua Allahyarham.

Allahyarham Nik Muhammad Hafifi Asri dan Muhammad Faezuan Hakim adalah antara tiga pekerja yang maut, manakala seorang lagi parah selepas bot penyelamat dinaiki terjatuh ke laut ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di Pelantar Sepat, semalam.

Ratusan individu hadir di tanah perkuburan untuk memberikan penghormatan terakhir buat kedua-dua Allahyarham – RTM

Seorang lagi pekerja yang maut adalah Ahmad Fiqri Zakaria dari Melaka, manakala mangsa yang parah ialah Mohd Taufik Mohd Ruslan, dari Banting, Selangor.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.