Pencalonan Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2026 bermula 4 Jun ini

Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching (tengah) merasmikan Majlis Pelancaran Pencalonan ASA 2026 – Foto Kementerian Komunikasi

KUALA LUMPUR, 25 Mei – Pencalonan bagi Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2026 dibuka secara rasmi bermula 4 hingga 22 Jun depan dengan mempertandingkan sebanyak 62 kategori melibatkan penyiaran televisyen (TV), radio dan media baharu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tema edisi ke-37 "Segalanya Bermula Di Sini" melambangkan evolusi penyiaran Malaysia dari radio tradisional ke era digital.
  • ASA sejak 1972 menjadi platform kementerian mengiktiraf sumbangan industri penyiaran tempatan dan diadakan sempena ulang tahun ke-80 RTM.
  • Pencalonan melalui organisasi penyiaran berlesen; karya mesti disiarkan kali pertama antara 1 Jan 2024 dan 31 Dis tahun lepas; hantar melalui laman rasmi.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, penganjuran edisi ke-37 itu membawakan tema “Segalanya Bermula Di Sini” yang melambangkan evolusi serta perjalanan era penyiaran Malaysia daripada media tradisional radio sehinggalah ke landskap dunia digital masa kini.

Beliau berkata, bertemakan konsep pementasan muzikal Broadway, acara berprestij itu juga diadakan bersempena sambutan Ulang Tahun Ke-80 Radio Televisyen Malaysia (RTM)

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching – Foto Kementerian Komunikasi

“ASA yang diperkenalkan sejak tahun 1972 telah menjadi platform penting kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi untuk mengangkat martabat industri penyiaran tempatan.

“Melalui penganjuran ASA, setiap sumbangan dan usaha warga industri diberikan pengiktirafan yang sewajarnya,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Pencalonan ASA 2026, di sini, hari ini.

Menurutnya, industri kreatif kini menjadi antara pemacu pertumbuhan ekonomi baharu negara menerusi konsep ‘Ekonomi Jingga’.

Beliau berkata, kerajaan kini dalam proses proaktif menubuhkan Majlis Ekonomi Jingga bagi merancakkan lagi sektor berkenaan yang mensasarkan peningkatan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara tujuh hingga 10 peratus bagi tahun 2026

Sementara itu, beliau memaklumkan secara keseluruhan, ASA 2026 mempertandingkan 60 kategori utama yang merangkumi 40 kategori TV, 17 kategori radio dan tiga kategori media baharu, selain dua kategori khas iaitu Anugerah Khas Juri dan Tokoh Seri Angkasa.

Keseluruhan 62 kategori dipertandingkan untuk Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2026 Edisi ke-37 – Foto Kementerian Komunikasi

Menariknya, edisi kali ini turut menyaksikan pengenalan semula kategori “Pengulas Radio Terbaik”.

Beliau berkata, semua pencalonan perlu dikemukakan melalui organisasi penyiaran berlesen dengan karya berkenaan mesti disiarkan buat kali pertama di stesen penyiaran atau platform media baharu bagi tempoh antara 1 Jan 2024 hingga 31 Dis tahun lepas.

Stesen penyiaran kerajaan dan swasta turut dipelawa untuk mengemukakan pencalonan secara dalam talian melalui laman sesawang www.anugerahseriangkasa.gov.my.

Pemenang bakal membawa pulang trofi eksklusif serta wang tunai pada malam kemuncak ASA 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 24 Oktober depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.