
KUALA LUMPUR, 25 Mei – Sebanyak 1,814 kenderaan mewah pelbagai jenama disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak Operasi Khas Kenderaan Mewah (Op Luxury) dilaksanakan.
- 899 sitaan direkodkan tahun lalu, manakala 915 sitaan dicatatkan tahun ini.
- Pemilik sering beri alasan terlepas pandang tarikh tamat dokumen walaupun aplikasi MyJPJ menghantar notis peringatan.
- Kenderaan jenama mewah seperti Porsche dan Lamborghini disita; termasuk kes selebriti, ketiadaan insurans, LKM tamat, lesen tamat dan pertukaran nombor pendaftaran tidak sah.
Daripada jumlah tersebut, 899 sitaan direkodkan pada tahun lalu, manakala selebihnya, iaitu 915 sitaan pada tahun ini.
Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Perancangan dan Operasi JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi berkata, alasan paling kerap diberikan oleh pemilik kenderaan yang melakukan kesalahan ialah terlepas pandang tarikh tamat tempoh dokumen.
“Biasanya aplikasi MyJPJ sendiri telah pun mengeluarkan peringatan ataupun notis apabila lesen kenderaan kita akan tamat tempoh.
“Alasan yang biasa digunakan iaitu terlepas pandang, kita rasa perkara tersebut sepatutnya boleh disedari oleh pemilik-pemilik kenderaan apabila aplikasi MyJPJ menghantar notis pemakluman,” katanya dalam sidang media di Depoh Tunda JPJ Kuala Lumpur di sini.
Menurut beliau, jenama kenderaan mewah yang didapati gagal memperbaharu Lesen Kenderaan Motor (LKM) termasuk Porsche dan Lamborghini, selain beberapa jenama premium lain.
Dalam operasi penguatkuasaan awal pagi semalam, sebuah kenderaan milik bekas pemain bola sepak kebangsaan turut disita selepas didapati melakukan tiga kesalahan utama jalan raya, iaitu tidak memiliki insurans sah, LKM tamat tempoh, serta lesen memandu pemilik tamat tempoh.
Selain itu, sebuah kenderaan mewah milik seorang pakar motivasi juga disita kerana tidak memiliki LKM dan insurans yang sah.
Semasa pemeriksaan dilakukan, kenderaan tersebut didapati telah menukar atau mendaftarkan nombor pendaftaran baharu (proses interchange), tetapi masih mempamerkan nombor pendaftaran lama yang sudah tidak sah.