
KUALA LUMPUR, 24 Mei – Pembangunan dan kebajikan rakyat di kawasan Pandan akan terus dipantau dan diselaras, kata Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, yang juga pegawai pemantau Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Parlimen itu susulan kekosongan kerusi kawasan berkenaan.
- Bantuan dan sokongan kepada penduduk Parlimen Pandan akan terus disalurkan seperti biasa.
- Segala isu dan permasalahan penduduk akan diberi perhatian dan dibantu sewajarnya.
- Keputusan pencalonan bagi mengisi kekosongan kerusi diserahkan kepada pucuk pimpinan parti.
- Sambutan Hari Wesak menyeru keamanan, kasih sayang, kebaikan dan keharmonian demi memperkukuh perpaduan negara.
Beliau berkata segala isu dibangkitkan penduduk di kawasan berkenaan akan terus diberi perhatian serta tindakan sewajarnya oleh pihak berkaitan.
“Pejabat Perdana Menteri telah diberi amanah untuk memantau dan menyelaras kawasan Parlimen Pandan susulan kekosongan kerusi kawasan itu. Ketiadaan wakil rakyat ketika ini tidak akan menjejaskan kebajikan penduduk setempat.
“Sehubungan itu, segala bantuan dan sokongan kepada rakyat di Parlimen Pandan akan terus disalurkan seperti biasa. Pada masa sama, setiap isu serta permasalahan yang dibangkitkan oleh penduduk akan terus diberi perhatian dan dibantu sewajarnya,” katanya selepas Majlis Makan Tengahari sempena sambutan Hari Wesak Persatuan Pendidikan Buddha Jing Sin di sini, hari ini.
Mengulas kemungkinan dicalonkan bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen Pandan, beliau berkata perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada kepimpinan tertinggi parti.
“Itu perlu ditanya kepada presiden parti. Saya sendiri tidak mengetahui mengenainya.Saya juga merupakan ahli cabang di Ampang dan pada masa sama saya banyak turun padang di kawasan lain bagi membantu parti. Namun, saya menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan,” katanya.
Terdahulu, kawasan Pandan menjadi Parlimen angkat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR.
Naib Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika mengumumkan perkara itu berkata Datuk Seri Zafrul pula diberi tanggungjawab sebagai pegawai pemantau PKR di Parlimen itu.
Dalam perkembangan lain, mengenai sambutan Hari Wesak hari ini, beliau berkata sambutan itu membawa mesej keamanan, kasih sayang dan kebaikan sesama manusia.
Menurut beliau, nilai-nilai tersebut amat penting dalam kehidupan masyarakat masa kini.
Katanya, ia bermula daripada sikap saling menghormati, saling membantu dan saling memahami antara satu sama lain.
Beliau turut menyeru agar masyarakat terus menyebarkan nilai kasih sayang, kebaikan hati dan keharmonian demi memperkukuh perpaduan negara.