
BUKAVU, 23 Mei – Penutupan sempadan antara Republik Demokratik Congo (DRC) dan Rwanda susulan penularan baharu wabak Ebola menjejaskan sumber pendapatan penduduk, khususnya golongan kurang upaya yang bergantung kepada aktiviti rentas sempadan.
- Peniaga dan pengangkut kehilangan sumber pendapatan harian, sukar menyara keluarga dan meneruskan kehidupan.
- Penduduk minta garis panduan pencegahan dan program vaksinasi untuk membolehkan mereka terus bekerja dengan selamat.
- Gangguan bekalan dan akses simpanan di bank luar menyebabkan risiko krisis kemanusiaan dan persoalan kelangsungan perniagaan.
Peniaga, Wema Furaha berkata, sekatan tersebut menyebabkan mereka hilang punca rezeki kerana tidak lagi dapat membawa barangan merentasi sempadan seperti sebelum ini.
“Kerja kami bergantung kepada sempadan ini. Apabila ia ditutup, kami semua terjejas. Inilah sumber yang membolehkan kami menyara keluarga, menghantar anak ke sekolah dan memenuhi keperluan asas,” katanya.
Menurut Furaha, walaupun menyedari Ebola merupakan penyakit berbahaya, pihak berkuasa wajar menyediakan garis panduan atau langkah pencegahan yang membolehkan mereka terus bekerja.
“Saya tahu Ebola sangat berbahaya, tetapi jika ada peraturan atau langkah yang boleh dipatuhi untuk membolehkan kami menyeberangi sempadan, itu lebih baik. Seperti ketika wabak sebelum ini, kami divaksin dan masih boleh bekerja dengan mematuhi langkah pencegahan,” katanya.
Ketika ini ramai peniaga dan pengangkut barangan hanya mampu menunggu di tepi jalan tanpa dapat menjalankan aktiviti perniagaan seperti biasa.
Seorang peniaga tepung, Cecile Kayumba berkata, penutupan sempadan menyebabkan bekalan terjejas dan menimbulkan persoalan mengenai kelangsungan perniagaan mereka.
“Sempadan ditutup kerana Ebola. Kami hanya mampu melihat kenderaan lalu-lalang tanpa dapat berniaga. Bekalan dari seberang sempadan sebelum ini menjadi sumber utama kami. Kini, bagaimana kami mahu meneruskan kehidupan?” katanya.
Dalam pada itu, penduduk Bukavu, Mick Mutiki berkata, ramai penduduk menyimpan wang di bank di Rwanda berikutan kekurangan kemudahan perbankan di kawasan timur Congo.
Namun, penutupan sempadan menyebabkan mereka tidak lagi dapat mengakses simpanan tersebut.
“Orang ramai kini tidak dapat mengakses wang atau sumber pendapatan mereka. Ini boleh mencetuskan krisis kemanusiaan, lebih-lebih lagi apabila bantuan sukar disalurkan ketika sempadan ditutup,” katanya.
Sekatan itu dilaksanakan susulan penularan baharu Ebola di timur DRC, kawasan yang sering berdepan wabak penyakit berjangkit termasuk mpox.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 22 Mei meningkatkan tahap risiko wabak tersebut kepada “sangat tinggi”, berikutan kebimbangan terhadap potensi penularan serta cabaran mengawal jangkitan di kawasan padat penduduk dan mempunyai mobiliti tinggi. – REUTERS