535 warga kerja sektor penyiaran dan komunikasi terima APC

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 21 Mei –Seramai 535 warga kerja sektor penyiaran dan komunikasi menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Zon Semenanjung tahun ini melibatkan tujuh jabatan dan agensi bawah Kementerian Komunikasi.

RINGKASAN BERITA AI
  • RTM mencatat penerima APC tertinggi antara agensi kementerian, menunjukkan sumbangan besar dalam sektor penyiaran.
  • Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil hadir menyampaikan anugerah dan menyeru penerima terus menjadi contoh teladan serta pemangkin produktiviti.
  • Penerima menyifatkan APC sebagai penghargaan bermakna yang memberi motivasi untuk terus berkhidmat cemerlang dan memacu kerjaya.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) merekodkan jumlah penerima tertinggi iaitu seramai 234 orang daripada keseluruhan 317 penerima APC agensi itu di seluruh negara.

Ia diikuti Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dengan 121 penerima Zon Semenanjung daripada keseluruhan 178 penerima.

Kementerian Komunikasi pula mencatatkan 66 penerima, diikuti Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) seramai 63 penerima, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sebanyak 25 penerima dan Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) seramai 18 penerima.

Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) pula merekodkan lapan penerima APC bagi Zon Semenanjung.

Secara keseluruhan, seramai 687 warga kerja kementerian, jabatan dan agensi menerima APC dengan 535 daripadanya membabitkan penerima Zon Semenanjung.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hadir menyampaikan anugerah kepada semua penerima.

Dalam ucapannya, beliau berharap semua penerima APC terus menjadi pembakar semangat serta contoh teladan kepada rakan sekerja lain.

“Ini adalah satu pengiktirafan yang baik dan saya percaya akan mampu memacu peningkatan produktiviti tuan-tuan puan-puan semua dan juga pasukan,” katanya.

Majlis turut diserikan dengan persembahan artis terkenal termasuk Marsha Milan, Lan Solo dan Aris Ariwatan.

Sementara itu, penerima APC, Noorshahfadhil Zainal Abidin menzahirkan penghargaan kepada pihak pengurusan dan rakan sekerja yang banyak memberi sokongan sepanjang perkhidmatannya.

“Pengiktirafan itu menjadi suntikan semangat untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada organisasi,” katanya.

Seorang lagi penerima, Noor Akmar Aziz menyifatkan anugerah diterima sebagai penghargaan cukup bermakna apatah lagi diraikan bersama suami yang turut berkhidmat di RTM.

“Alhamdulillah, tahun ini saya bertuah sebab dapat menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bersama suami sekali.

“Saya harap anugerah ini boleh menjadi pemangkin semangat untuk terus cemerlang dan menjadi seorang pegawai yang baik khususnya dalam meneruskan kerjaya di RTM,” katanya.

Bagi Mohammad Najib Mashor pula, APC pertama diterimanya dianggap satu amanah besar untuk terus membawa nama RTM ke tahap lebih baik dalam arena penyiaran negara.

“Ini bukan sekadar membawa nama peribadi tetapi tanggungjawab untuk memastikan RTM terus dipercayai dan kukuh dalam industri penyiaran Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Parvathy Nagarajan yang menerima APC buat kali pertama selepas 20 tahun berkhidmat menyifatkan penghargaan tersebut cukup bermakna dalam kerjayanya.

“Saya merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan, keluarga serta rakan-rakan yang sentiasa memberi sokongan sepanjang tempoh perkhidmatan di RTM,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.