CAAM nasihat pengguna sentiasa semak status penerbangan

Gambar hiasan

PUTRAJAYA, 20 Mei – Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa menyemak status penerbangan dan mendapatkan maklumat terkini daripada syarikat penerbangan sepanjang musim cuti sekolah susulan gangguan jadual penerbangan global ketika ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hadir lebih awal ke lapangan terbang dan pastikan maklumat perhubungan semasa dalam tempahan dikemas kini.
  • Simpan semua dokumen perjalanan dan bukti tempahan untuk rujukan sekiranya berlaku perubahan atau tuntutan.
  • Ketahui hak anda di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia, termasuk pilihan jika kelewatan lima jam atau lebih.
  • Segera buat laporan di kaunter syarikat penerbangan untuk bagasi hilang, rosak atau lewat; rujuk saluran rasmi dan FlySmart CAAM.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) berkata, peningkatan trafik penumpang dijangka berlaku di lapangan terbang seluruh negara dalam tempoh berkenaan.

“Penumpang digalakkan hadir lebih awal ke lapangan terbang bagi mengelakkan sebarang kesesakan atau perubahan operasi selain memastikan maklumat perhubungan semasa tempahan sentiasa dikemas kini.

“Penumpang juga disaran menyimpan semua dokumen perjalanan dan tempahan bagi tujuan rujukan,” menurut kenyataan itu pada Rabu.

CAAM turut mengingatkan pengguna mengenai hak mereka di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia sekiranya berlaku kelewatan penerbangan, pembatalan, perubahan jadual atau masalah berkaitan bagasi.

“Bagi kelewatan penerbangan lima jam atau lebih, pengguna boleh memilih sama ada meneruskan perjalanan dengan bantuan sewajarnya daripada syarikat penerbangan atau mendapatkan bayaran balik penuh,” tambah kenyataan itu.

CAAM turut menasihatkan penumpang yang berdepan masalah bagasi hilang, rosak atau lewat tiba supaya segera membuat laporan kepada syarikat penerbangan di lapangan terbang.

Orang ramai juga digalakkan mendapatkan maklumat hanya menerusi saluran rasmi syarikat penerbangan, pengendali lapangan terbang dan platform FlySmart CAAM.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.