Papan Pemuka Pemantauan Krisis Bekalan Global, tingkat kefahaman rakyat terhadap ekonomi

Paparan Papan Pemuka Pemantauan Krisis Bekalan Global / foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Inisiatif kerajaan memperkenalkan Papan Pemuka Pemantauan Krisis Bekalan Global yang boleh diakses mulai hari ini disifatkan sebagai langkah tepat dalam membantu rakyat mendapatkan maklumat semasa berkaitan bekalan dan ekonomi negara secara lebih pantas serta sahih.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memudahkan akses maklumat rasmi menggunakan telefon pintar, relevan untuk keperluan harian rakyat.
  • Menjadi sumber rujukan utama bagi info harga minyak dan barangan tanpa bergantung kepada sumber tidak sahih.
  • Membantu mengurangkan pembelian panik dengan maklumat terkini dan dipercayai.
  • Paparan data menyeluruh meningkatkan kefahaman perubahan harga dan kesedaran terhadap isu global seperti kesan di Selat Hormuz.

Rakyat daripada pelbagai peringkat menyambut baik usaha tersebut kerana ia memudahkan akses kepada maklumat rasmi berkaitan harga minyak, harga barangan serta perkembangan semasa krisis bekalan global.

Menurut seorang pengguna, Nur Alya Syazwan, inisiatif itu amat relevan ketika masyarakat bergantung kepada telefon pintar dan peranti elektronik untuk mendapatkan maklumat harian.

Katanya, papan pemuka berkenaan boleh menjadi sumber rujukan utama bagi orang ramai mendapatkan maklumat tepat termasuk perkembangan harga minyak semasa tanpa bergantung kepada sumber tidak sahih.

Al Najiv Haasan pula berpandangan, langkah kerajaan itu mampu mengelakkan pembelian panik dalam kalangan pengguna.

Bagi golongan pelajar, platform tersebut dilihat penting dalam meningkatkan kesedaran terhadap isu semasa termasuk perkembangan krisis di Selat Hormuz dan Asia Barat yang memberi kesan kepada ekonomi global.

Menurut Nurul Anis Auni Mohd Ravi, paparan data yang lebih menyeluruh memudahkan rakyat memahami perubahan harga minyak, harga pasaran dan situasi ekonomi semasa secara lebih jelas.

Sementara itu, Ravindran Nadarajah berkata dashboard berkenaan dapat membantu masyarakat lebih peka terhadap perkembangan global.

Terdahulu, Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata paparan awam papan pemuka yang dibangunkan secara bersama oleh Kementerian Ekonomi dan Jabatan Perangkaan Malaysia itu (DOSM) merangkumi 10 submenu utama termasuk tenaga, komoditi, kos sara hidup, prestasi ekonomi, kadar pertukaran wang asing dan aliran perdagangan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.